KAHERAH, 29 April- Seramai 13 orang terkorban dalam serangan udara tentera Israel yang menyasarkan tiga buah rumah di bandar Rafah.
Pegawai Kesihatan Palestin memaklumkan serangan ke atas dua buah rumah di Gaza pula meragut dan mencederakan beberapa mangsa.
Serangan ke atas Rafah berlaku beberapa jam sebelum Mesir dijangka menjadi tuan rumah kepada rundingan pemimpin kumpulan Hamas untuk membincangkan prospek perjanjian gencatan senjata dengan Israel. Rafah menjadi tempat perlindungan lebih sejuta orang penduduk Palestin berlindung daripada serangan Israel selama beberapa bulan, sejak konflik Israel-Hamas pada Oktober, tahun lalu.
Sementara itu, seorang pegawai kanan Hamas berkata satu delegasi, diketuai oleh Timbalan Ketua Hamas di Gaza Khalil Al-Hayya, akan ke Kaherah membincangkan cadangan gencatan senjata yang diserahkan oleh Hamas kepada pengantara dari Qatar dan Mesir serta maklum balas Israel.
Pengantara, yang disokong oleh Amerika Syarikat, telah meningkatkan usaha mereka untuk memuktamadkan perjanjian ketika Israel mengancam untuk menyerang Rafah.
Dua pegawai Hamas yang bercakap dengan Reuters tidak mendedahkan butiran cadangan terbaharu itu. Bagaimanapun sumber daripada taklimat mengenai rundingan itu, memberitahu Reuters bahawa Hamas dijangka memberi maklum balas cadangan gencatan senjata terbaharu oleh Israel yang telah diserahkan pada Sabtu.
Ini termasuk perjanjian untuk menerima pembebasan tidak kurang daripada 40 tebusan Israel sebagai pertukaran untuk membebaskan penduduk Palestin yang ditahan di penjara Israel dan fasa kedua gencatan senjata yang merangkumi 'tempoh tenang yang berterusan' sekurang-kurangnya enam minggu, sebagai tindak balas susulan tolak ansur Israel terhadap tuntutan Hamas untuk gencatan senjata kekal.
Selepas fasa pertama, Israel akan membenarkan pergerakan bebas antara selatan dan utara Gaza dan pengunduran sebahagian tentera Israel dari Gaza, kata sumber itu.-REUTERS