fb fb fb fb fb

Puting beliung di tengah AS ragut 5 nyawa

Lokasi bencana puting beliung di Omaha, Nebraska, AS/REUTERS

WASHINGTON, 29 April- Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dalam kejadian puting beliung yang melanda negeri Oklahoma dan Great Plains di Amerika Syarikat.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) melaporkan, sebanyak 35 puting beliung berlaku pada Sabtu dari utara Texas dan Oklahoma sehingga ke Missouri.

Manakala, 78 puting beliung dilaporkan pada Jumaat, kebanyakannya di Nebraska dan Iowa.

Fenomena itu turut menyebabkan hujan sehingga 18 sentimeter di beberapa kawasan dalam tempoh beberapa jam.

Agensi meteorologi memberi amaran, cuaca ekstrem yang berterusan sehingga Ahad akan mencetuskan bahaya, termasuk banjir kilat, hujan batu dan lebih banyak puting beliung.

Sulphur yang terletak di selatan-tengah Oklahoma, sangat teruk terjejas dan rakaman video dan imej disiarkan di media sosial menunjukkan banyak bangunan rosak.

Sementara itu, Gabenor Oklahoma Kevin Stitt, turut mengisytiharkan darurat selama 30 hari untuk mempercepatkan bantuan kepada 12 daerah yang paling teruk terjejas dan beliau juga sudah menghubungi pihak berkuasa persekutuan untuk mendapatkan bantuan.

Pasukan penyelamat sedang bertungkus lumus untuk mencari mangsa yang terselamat.

Lebih 25,000 rumah di Texas dan lebih 19,000 di Oklahoma terputus bekalan elektrik setakat petang Ahad, lapor laman web poweroutage.us.-AFP

ROSLINA BINTI DIN