RIYADH,5 Februari-Arab Saudi pada Rabu menegaskan bahawa ia tidak akan menormalisasikan hubungan dengan Israel melainkan sebuah negara Palestin ditubuhkan.
"Arab Saudi akan terus berusaha tanpa henti untuk menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya, dan tidak akan menjalin hubungan diplomatik dengan Israel tanpa syarat tersebut," kata Kementerian Luar Arab Saudi dalam satu kenyataan di X.
Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyatakan bahawa beliau percaya normalisasi hubungan dengan kerajaan Teluk itu akan berlaku.
Netanyahu membuat kenyataan itu di White House bersama Trump, yang pentadbirannya pada tahun 2020 menjadi perantara bagi perjanjian yang membolehkan Israel menjalin hubungan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Maghribi dan Bahrain.
Perkembangan itu meningkatkan harapan untuk perjanjian serupa dengan Arab Saudi, ekonomi terkaya di dunia Arab dan penjaga dua tempat suci Islam yang paling penting.
Presiden AS Donald Trump dan bekas Presiden, Joe Biden, kedua-duanya menyokong hubungan diplomatik antara Israel dan Arab Saudi.
Riyadh telah menghentikan perbincangan awal mengenai perkara itu pada permulaan konflik di Gaza dan semakin mengukuhkan pendiriannya ketika perang berlanjutan.
Arab Saudi tidak mengiktiraf Israel tetapi sejak 2020 telah berunding untuk mendekatkan hubungan sebagai pertukaran bagi pakatan pertahanan dengan AS serta bantuan Washington dalam program nuklearnya.-AFP.