fb fb fb fb fb

Gempa: Ribuan pelancong tinggalkan Pulau Santorini

Orang ramai beratur di platform untuk menaiki feri ketika mereka bersiap sedia untuk meninggalkan Pulau Santorini, Greece, susulan gempa bumi berulang / Foto AFP

ATHENS, 5 Februari-Ribuan pengunjung meninggalkan pulau Santorini melalui laut dan udara untuk hari ketiga berturut-turut pada Selasa, ketika lebih banyak gempa bumi menggoncang destinasi pelancongan terkenal itu.

Menurut pegawai, kira-kira 7,000 orang telah meninggalkan pulau yang terkenal dengan pemandangan tebing yang menakjubkan dan gunung berapi dorman, yang telah mengalami ratusan gegaran sejak minggu lalu.

Satu gempa bumi bermagnitud 4.9 melanda pada Selasa, diikuti dengan satu lagi gegaran bermagnitud 5.0 beberapa jam kemudian.

Sejak 24 Januari lepas, kira-kira 750 gempa bumi telah berlaku di sekitar Santorini dan kawasan seluas 1,000 kilometer persegi (386 batu persegi), menurut pemantau seismik Greece.

Namun, tiada kecederaan atau kerosakan dilaporkan di Santorini mahupun pulau-pulau berdekatan seperti Anafi, Ios dan Amorgos.

Pakar mengatakan bahawa wilayah berkenaan tidak pernah mengalami aktiviti seismik yang besar sejak tahun 1964.

"Ini adalah kali pertama perkara seperti ini berlaku, kami tidak pernah melihatnya sebelum ini," kata Athanassios Ganas, pengarah penyelidikan di Institut Geodinamik pemerhati kebangsaan, kepada saluran TV negeri ERT.

Beliau juga menyatakan bahawa lebih daripada 40 gempa bumi dengan magnitud melebihi 4.0 telah direkodkan dalam tempoh 72 jam terakhir.

Santorini terletak di atas gunung berapi yang terakhir kali meletus pada tahun 1950, tetapi jawatankuasa pakar pada Isnin menyatakan bahawa fenomena semasa "tidak berkaitan dengan aktiviti gunung berapi."

Menurut pasukan pengawal pantai Greece, lebih 5,700 orang telah meninggalkan pulau itu dengan feri sejak Ahad.

Sementara itu,syarikat penerbangan Aegean Airlines pula berkata bahawa hampir 1,300 orang telah diterbangkan keluar dari Santorini pada Isnin, dengan lapan penerbangan tambahan yang mampu membawa 1,400 penumpang dijadualkan pada Selasa.

Perkhidmatan feri ke Santorini juga telah ditingkatkan.

Sekolah di keempat-empat pulau itu ditutup sebagai langkah berjaga-jaga sehingga Jumaat, menyebabkan ramai penduduk yang mempunyai anak kecil memilih untuk meninggalkan pulau tersebut sehingga situasi kembali tenang.

Namun, sesetengah pelancong di pulau itu tidak terlalu bimbang dengan kejadian gempa.

"Saya tidak terlalu risau dengan gempa atau gunung berapi kerana saya datang dari Tokyo," kata Wataru Saito, seorang ahli ekonomi berusia 43 tahun yang menghabiskan sehari di pulau itu.

Beliau menyatakan bahawa tahap gegaran di Santorini jauh lebih kecil berbanding gempa bumi yang biasa dialami di Jepun.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD