LOS ANGELES, 29 Mac Penganjur anugerah Oscar, The Academy mengecam tindakan Will Smith yang menampar selebriti Chris Rock di pentas anugerah berprestij itu di Dolby Theatre, Los Angeles, Amerika Syarikat pada Ahad malam (Isnin pagi waktu Malaysia).
The Academy turut melakukan "semakan formal" berikutan insiden aktor ternama itu menampar Chris Rock berdasarkan undang-undang California.
"Kami telah memulakan semakan rasmi mengenai kejadian itu dan akan menilai tindakan dan akibat selanjutnya mengikut undang-undang Kecil, Piawaian Kelakuan dan undang-undang California", menurut kenyataan dikeluarkan The Academy.
Semalam, seluruh dunia dikejutkan dengan insiden Will Smith menampar Chris Rock pada anugerah berprestij itu.
Insiden tersebut bermula apabila Rock berada di pentas itu untuk menyampaikan anugerah bagi kategeori Dokumentari Terbaik.
Rock dengan sikap lawaknya mula bergurau dengan penonton dan sebaik terpandang Smith dan isterinya Jada, dia kemudian bersenda dengan pasangan suami isteri itu.
Namun, Rock tidak menyedari tindakannya mengundang kemarahan Smith yang juga calon bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem King Richard.
Rock bergurau terhadap Jada yang kini muncul dengan imej botak berikutan masalah kesihatan seperti yang dibintangi oleh Demi Moore dalam filem G.I. Jane.
Bagaimanapun Smith, tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada penganjur Anugerah Academy serta seluruh penggiat seni berhubung tindakannya ‘menampar’ wajah selebriti Chris Rock ketika acara tersebut berlangsung.
Perkara tersebut dilakukan pelakon filem King Richard itu ketika dia menyampaikan ucapan selepas dinobatkan sebagai pemenang Pelakon Lelaki Terbaik Oscar 2022. - AFP