fb fb fb fb fb

Ribuan tunjuk perasaan, bantah prosedur gugurkan kandungan

MADRID, 29 Mac - Ribuan penunjuk perasaan berarak di Madrid untuk membantah prosedur pengguguran kandungan pada Ahad lepas, ketika kerajaan berhaluan kiri Sepanyol menyediakan undang-undang untuk menjamin kebenaran untuk menggugurkan kandungan di hospital awam. 

Mereka membawa sepanduk tertera "pengguguran kandungan tidak wajar" dan berulang kali melaungkan slogan "Lebih Menghormati Nyawa" ketika berhimpun di ibu kota Sepanyol ke dataran Cibeles, tengah Madrid.

"Terdapat alternatif lain. Selepas kandungan digugurkan akan berlakunya trauma, tetapi itu tidak selalu dibincangkan," kata Yolando Torosio yang turut menghadiri perhimpunan tersebut bersama anak perempuannya.

Tunjuk perasaan itu dianjurkan oleh platform "Yes to Life" ("Ya kepada Hidup") yang menganggarkan sekitar 20,000 orang mengambil bahagian. Namun, wakil pemerintah Madrid menyatakan jumlah itu dihadiri sekitar 9,000 orang.

Kelihatan ibu bapa yang membawa kereta sorong bayi, pasangan yang bersara dan belia hadir ke protes tersebut dengan memegang bendera Sepanyol.

Meskipun Sepanyol menarik balik pengguguran kandungan daripada senarai jenayah pada 1985, wanita di negara yang kebanyakan penduduknya menganut ajaran Katolik berdepan dengan pelbagai cabaran memandangkan ramai doktor enggan melakukan prosedur tersebut. 


(Penunjuk perasaan memegang plakad semasa mengambil bahagian dalam perarakan anti-pengguguran
"Si a la vida" (Ya untuk hidup) pada 27 Mac lalu di Madrid/FOTO AFP)

Menurut pertubuhan doktor Sepanyol OMC, "kebanyakan" doktor obstetrik dan ginekologi yang bekerja di sektor awam menyifatkan diri mereka sebagai "penentang berhemat" dan enggan menggugurkan kandungan. 

Oleh itu, wanita di beberapa daerah perlu merentas beratus kilometer semata-mata untuk menggugurkan kandungan mereka kerana tiada klinik swasta dan hospital awam yang berdekatan melaksanakan prosedur pengguguran tersebut. 

Perdana Menteri Pedro Sanchez sedang menyiapkan undang-undang untuk memastikan semua hospital awam melaksanakan proses pengguguran kandungan.

Pedro Sanchez juga ingin meminda undang-undang agar kanak bawah umur yang berusia 16 dan 17 boleh menggugurkan kandungan mereka tanpa izin ibu bapa, seperti dilaksanakan di Britain dan Perancis. 

Tinjauan menunjukkan kebanyakan warga Sepanyol menyokong untuk mengekalkan undang-undang sedia ada, iaitu menggugurkan kandungan yang dilakukan dalam 14 minggu pertama kehamilan. - AFP

Media Baharu