fb fb fb fb fb

Thailand sambung semula program visa tanpa kuarantin

FOTO : AFP



BANGKOK, 20 JANUARI - Thailand menyambung semula program visa tanpa kuarantin untuk pelancong yang lengkap divaksin bermula 1 Februari ini.

Ia sebagai usaha memulihkan sektor pelancongannya ketika jangkitan COVID-19 dilihat semakin menurun di negara itu.

Program Test & Go itu digantung sebulan lalu selepas hanya tujuh minggu dilaksanakan susulan penularan varian Omicron dan ketidakpastian tentang keberkesanan vaksin terhadapnya.

Jurucakap kerajaan, Taweesin Wisanuyothin memberitahu polisi itu memerlukan pelawat untuk membuat ujian Covid-19 semasa ketibaan dan sekali lagi lima hari kemudian, sambil bersetuju untuk lokasi mereka dikesan.

Pihak berkuasa juga memanjangkan operasi restoran yang dibenarkan menghidangkan alkohol dari pukul 9 malam sehingga 11 malam.

Namun bar dan kelab malam akan tetap ditutup.

Thailand menyaksikan lonjakan dalam kes baharu selepas sambutan Krismas dan Tahun Baharu, kes yang lebih tinggi berbanding ketika gelombang jangkitan varian Delta melanda.

 

Media Baharu