fb fb fb fb fb

Rakaman video serangan dron tersasar di Afganistan disiarkan

FOTO : REUTERS

 

KABUL, 20 JANUARI - Pusat Pemerintahan Amerika Syarikat menyiarkan satu rakaman video serangan dron yang tersasar yang mengakibatkan sepuluh orang awam terbunuh di Afghanistan.

Serangan yang berlaku pada Ogos tahun lepas itu berlaku pada hari-hari terakhir tentera Amerika berada di Afghanistan.

Penyiaran rakaman video itu dibuat selepas saman yang dibuat oleh The New York Times melalui akta Kebebasan Maklumat, ia selepas Pentagon berkata pada Disember lalu bahawa tiada anggota tenteranya akan bertanggungjawab atas serangan dron itu.

Siasatan awal oleh Ketua Angkatan Tentera Udara menyatakan serangan pada 29 Ogos itu disebabkan oleh kesilapan pelaksanaan, mentafsir maklumat yang menyokong sudut pandangan tertentu, dan kerosakan komunikasi.

Pentagon berkata sebelum ini serangan tersebut menyasarkan pengebom bunuh diri kumpulan DAESH yang menjadi ancaman kepada tentera yang diketuai Amerika Syarikat di lapangan terbang, ketika mereka menyelesaikan peringkat terakhir pengunduran dari Afghanistan.

Namun laporan timbul selepas itu bahawa serangan dron di kawasan kejiranan di barat Lapangan Terbang Hamid Karzai telah membunuh orang awam termasuk kanak-kanak.

Rakaman dari tempat kejadian ketika itu menunjukkan kemusnahan dengan serpihan kereta di perkarangan sebuah bangunan.

Serangan itu dibuat selepas pengebom bunuh diri DAESH membunuh 13 anggota tentera Amerika dan puluhan orang awam Afghanistan yang berkumpul di luar pagar lapangan terbang. - REUTERS

Media Baharu