fb fb fb fb fb

Sekurang-kurangnya dua maut, 22 cedera dalam serangan bom puak pemisah di Lahore

FOTO AFP

LAHORE , 20 Januari - Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh dan 22 cedera dalam insiden letupan bom di daerah beli-belah yang sibuk di bandar besar Pakistan di Lahore, kata polis dan pegawai keselamatan.

"Siasatan awal mendapati letupan berpunca daripada bom kawalan masa yang dipasang pada sebuah motosikal," jurucakap polis Lahore, Rana Arif memberitahu AFP.

Sumber hospital dan polis mengesahkan dua orang termasuk seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun terbunuh dalam kejadian.

Letupan di daerah beli-belah Anarkali itu juga merosakkan beberapa motosikal dan gerai peniaga.

Kumpulan pemisah, Tentera Nasionalis Baloch mengaku mendalangi serangan.

"Sasaran serangan ialah kakitangan bank. Kenyataan terperinci akan dikeluarkan dalam masa terdekat," kata jurucakap Baloch menerusi hantaran di Twitter.

Balochistan yang kaya dengan sumber galian dan bersempadanan dengan Afghanistan dan Iran, merupakan yang terbesar dalam kalangan empat wilayah di Pakistan.

Penduduknya sejak sekian lama mendakwa tidak menerima bahagian yang adil daripada kekayaan hasil bumi wilayah itu. - AFP

Media Baharu