fb fb fb fb fb

CDC beri amaran jangan bergantung kepada imuniti semulajadi sebagai pelindung COVID-19

FOTO AFP

WASHINGTON, 20 Januari - Kajian di Amerika Syarikat (AS) menunjukkan individu tidak divaksin yang sembuh jangkitan varian COVID-19 Delta membina imuniti semula jadi lebih kuat berbanding penerima vaksin.

Bagaimanapun, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS memberi amaran supaya tidak bergantung kepada jangkitan sebagai strategi membina imuniti semula jadi.

"Ini kerana risiko kemasukan ke hospital, kesan jangka panjang dan kematian lebih tinggi kepada mereka yang tidak divaksin berbanding penerima vaksin.

"Virus sentiasa berubah, termasuk yang menyebabkan COVID-19, jadi tahap perlindungan yang ditawarkan melalui vaksinasi dan ketahanan daripada jangkitan sebelum ini sentiasa berubah semasa tempoh kajian.

"Vaksinasi kekal sebagai strategi paling selamat untuk melindungi daripada COVID-19," kata kenyataan itu.

Kajian itu dilakukan untuk dipertimbangkan dalam perbahasan mengenai kekuatan relatif imuniti semula jadi berbanding vaksin yang diperoleh terhadap SARS-CoV-2.

Berdasarkan analisis dijalankan sebelum kemunculan varian Omicron, kedua-dua vaksin dan imuniti yang diperoleh daripada jangkitan kelihatan berkurangan sebelum penggalak disediakan secara meluas.

"Kajian itu membabitkan pesakit di New York dan California antara 30 Mei hingga 30 November 2021.

"Sebelum Delta menjadi dominan, vaksinasi memberikan imuniti yang lebih besar daripada jangkitan, tetapi hubungan itu berubah apabila varian menjadi dominan pada akhir Jun dan Julai," tambahnya.

CDC AS turut menegaskan bahawa kajian lanjut diperlukan untuk mewujudkan tempoh perlindungan daripada jangkitan sebelum ini mengikut jenis varian, tahap serius penyakit dan gejala termasuk untuk varian Omicron. -AFP

Media Baharu