fb fb fb fb fb

Misi bantuan kemanusiaan mula tiba di Tonga hari ini

FOTO AFP

SYDNEY, 20 Januari- Lima hari selepas letusan gunung berapi, disusuli tsunami sehingga menyebabkan Tonga berdepan malapetaka; akhirnya penerbangan pertama membawa bantuan kemanusiaan ke pulau itu digerakkan.

Pihak berkuasa Australia dan New Zealand mengesahkan bahawa dua pesawat tentera telah digerakkan ke negara Pasifik itu yang kini terpisah dengan dunia luar.

Pesawat itu dijadualkan tiba di lapangan terbang utama Tonga yang sudah dibersihkan daripada sisa tsunami.

“Pesawat C-17 Globemaster berlepas dari Pangkalan Lapangan Terbang Amberley kira-kira 7:00 am hari ini (waktu tempatan)," menurut seorang Pegawai Pertahanan Australia.

Sementara itu pihak berkuasa New Zealand mengesahkan C-130 Hercules telah diterbangkan ke lokasi bencana hari ini.

Pesawat membawa barangan bantuan penting seperti air bersih dan peralatan telekomunikasi.

Maklumat dari Tonga amat terhad sejak bencana hujung minggu yang menyebabkan kabel telekomunikasi dasar laut terputus.

Sementara itu, penduduk Tonga bertungkus lumus membersihkan landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Fua’amotu daripada abu tebal gunung berapi.

Penyelaras krisis PBB, Jonathan Veitch memaklumkan landasan lapangan terbang utama Tonga dilitupi abu setebal kira-kira 10 sentimeter juga batuan konkrit.

Gunung berapi Hunga Tonga-Hunga Ha'apai yang meletus pada Sabtu lalu menyebabkan tiga orang terbunuh seterusnya menyebabkan tsunami setinggi 15 meter yang memusnahkan banyak kediaman di pulau tersebut. -AFP

Media Baharu