fb fb fb fb fb

Terpalit tuduhan rasuah dan pemerasan, Senator AS umum letak jawatan

Senator AS Robert Menendez / AFP

NEW YORK, 24 Julai- Senator AS Robert Menendez mengumumkan pada Selasa bahawa beliau akan meletak jawatan bulan depan, berikutan sabitan atas tuduhan rasuah dan pemerasan baru-baru ini.

Pemimpin berusia 70 tahun itu, dalam sepucuk surat kepada Gabenor negeri Phil Murphy, berkata beliau merancang untuk berundur pada 20 Ogos daripada kerusi Senat yang disandangnya sejak 2006.

Senator itu disabitkan di New York minggu lalu atas kesalahan memeras ugut, menghalang keadilan dan menerima rasuah untuk melakukan kebaikan kepada ahli perniagaan yang mempunyai hubungan dengan Mesir dan Qatar.

Dia akan dijatuhkan hukuman pada 29 Oktober dan boleh menghabiskan sisa hidupnya di penjara.

Dalam suratnya, Menendez, pengerusi pernah berkuasa Jawatankuasa Perhubungan Luar Senat, berkata beliau merancang untuk merayu keputusan itu dan meletakkan jawatan kerana "tidak mahu Senat terlibat dalam proses panjang yang akan menjejaskan kepentingannya."

Menendez telah berada bawah tekanan daripada rakan-rakannya daripada Demokrat untuk meletakkan jawatan dan keputusannya untuk berundur akan menyelamatkan parti itu daripada perlu mengundi untuk memecatnya.

Murphy, gabenor Demokrat, berkata pada X bahawa dia akan menamakan pengganti sementara Menendez yang akan berkhidmat sehingga akhir penggalnya pada Januari.

Demokrat mempunyai 51 undi dalam Senat 100 ahli dan pemergian Menendez boleh melemahkan lagi pegangan sempit mereka terhadap badan itu.

Isteri Menendez, Nadine, juga telah didakwa dalam kes itu. Dia sedang menerima rawatan untuk kanser payudara dan akan dibicarakan secara berasingan.

Dalam serbuan di rumah pasangan itu di New Jersey, ejen FBI menemui wang tunai hampir AS$500,000 disembunyikan di sekeliling rumah itu, serta jongkong emas bernilai sekitar AS$150,000 dan sebuah kereta mewah Mercedes-Benz.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE