SANTIAGO, 24 Julai- Ketua pembangkang Chile, Javier Macaya, meletak jawatan pada Selasa di tengah-tengah skandal berhubung komen yang dibuatnya mempertahankan bapanya, yang telah disabitkan dengan penderaan seksual kanak-kanak.
Macaya, seorang senator dan Presiden Kesatuan Demokratik Bebas (UDI) konservatif, berkata dalam satu temu bual pada hujung minggu lalu dia percaya bapanya tidak bersalah dalam kes penderaan seks yang melibatkan ahli keluarga.
Dia juga menyelar proses undang-undang, mengatakan bapanya telah disabitkan kesalahan berdasarkan rakaman yang dibuat tanpa persetujuannya dan dan bukti video berkenaan melalui proses suntingan.
Eduardo Macaya, 72, Khamis lalu dijatuhi hukuman penjara enam tahun kerana berulang kali melakukan penderaan seksual terhadap kanak-kanak bawah umur.
Dia telah dibawa ke penjara pada hari Jumaat untuk menunggu keputusan rayuan terhadap hukumannya. Bagaimanapun, pada Isnin, mahkamah rayuan mengarahkannya menjalani tahanan rumah.
Perkembangan itu seterusnya mencetuskan kemarahan orang ramai terhadap kes itu dan ratusan orang membantah di luar ibu pejabat parti pembangkang pada malam Isnin, menuduh sistem keadilan memberi layanan keutamaan kepada Eduardo Macaya.
Media tempatan juga melaporkan semasa di penjara, Eduardo Macaya tidak ditempatkan di dalam sel, tetapi di rumah sakit.
Presiden Chile Gabriel Boric mengumumkan siasatan terhadap syarat penahanan Eduardo Macaya, dengan mengatakan "kita semua sama di hadapan undang-undang."-AFP