fb fb fb fb fb

Kapal nelayan karam di Kepulauan Falkland, lapan disahkan maut, lima kru masih hilang

Kapal Argos Georgia, dilaporkan karam kira-kira 200 batu nautika timur ibu negara Kepulauan Falkland, Stanley

LONDON, 24 Julai- Lapan anak kapal maut manakala lima lagi hilang selepas kapal nelayan mereka karam ketika menghadapi cuaca buruk berhampiran Kepulauan Falkland.

Pasukan penyelamat menemui lapan mayat bersama 14 kru yang terselamat, menurut pihak berkuasa negara di wilayah Galicia di barat laut Sepanyol, yang memetik pihak berkuasa maritim Falklands. Lima orang masih hilang, kata mereka.

Anak kapal meninggalkan kapal Argos Georgia sejurus selepas 4:00 petang waktu tempatan, Isnin dan menaiki rakit penyelamat, kata kerajaan Kepulauan Falkland.

Sebuah kapal tentera British dan dua bot nelayan dilaporkan berjaya menyelamatkan beberapa anak kapal.

Kapal itu berada kira-kira 200 batu nautika timur ibu negara Kepulauan Falkland, Stanley pada masa itu, katanya.

Menteri Luar Sepanyol Jose Manuel Albares berkata 10 daripada mereka di atas kapal itu adalah warganya.

Dua pesawat Tentera Udara Diraja Britain telah menjejaki dan melaporkan kedudukan rakit penyelamat manakala beberapa kapal maritim mengambil bahagian dalam operasi mencari.

Sebuah helikopter mencari dan menyelamat yang pada mulanya cuba menyelamatkan beberapa anak kapal dari tempat kejadian lewat Isnin tidak berjaya dalam operasinya akibat keadaan cuaca yang sangat mencabar.

Robert Ervik, pemilik Argos Georgia, mengesahkan kepada AFP bahawa 27 orang kru berada di atas bot itu yang mengibarkan bendera Saint Helena, satu lagi wilayah luar negara British di Atlantik Selatan.

Bot itu, dibina pada 2018 di Turki, sepanjang hampir 54 meter (177 kaki) dan boleh memuatkan 28 orang, menurut pemilik firma perikanan Britain-Norwegia, Argos Froyanes.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE