ISLAMABAD, 20 November - Pakistan bakal menerima pinjaman $330 juta daripada Bank Pembangunan Asia (ADB) bagi menaik taraf grid tenaga negara, sekali gus membolehkan tenaga hidro dihantar ke bandar-bandar utama.
Negara dengan populasi 250 juta itu kini berdepan krisis gangguan bekalan elektrik, peningkatan kos tenaga, dan hutang sektor tenaga mencecah 1.7 trilion rupee (RM26.3 bilion).
"Pelaburan ini akan mengatasi kekangan lama di koridor tenaga utara–selatan, membolehkan pemindahan sehingga 3,200 megawatt tenaga bersih daripada loji hidro di utara.
"Pinjaman ini juga dijangka mengurangkan kebergantungan pada bahan api import, meningkatkan keselamatan tenaga, dan menyokong peralihan Pakistan ke tenaga lebih mampu milik dan lestari," menurut kenyataan ADB.
ADB sebelum ini telah memberikan $250 juta pada November 2023 untuk mengembangkan rangkaian penghantaran voltan tinggi di Punjab dan Khyber Pakhtunkhwa.
Pada Ogos lalu, ADB turut meluluskan pakej $410 juta untuk pembangunan lombong tembaga dan emas Reko Diq.
Pakistan bergantung tinggi kepada pinjaman luar negara dan hampir berdepan kegagalan membayar hutang pada 2023, namun bantuan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebanyak $7 bilion membantu membuka laluan bagi pinjaman lanjut dari negara sahabat, sekali gus mengelak krisis ekonomi.- AFP