CANBERRA, 13 Februari- Beribu-ribu biri-biri dan lembu yang terkandas di atas kapal melalui Laut Merah bulan lalu mula berlabuh di pelabuhan Australia, kata kementerian pertanian Australia.
MV Bahijah belayar dari Fremantle, Australia Barat pada 5 Januari ke Israel dengan kira-kira 14,000 biri-biri dan 2,000 lembu di dalamnya, tetapi melencong dari laluannya kerana berikutan pihak Houthi tidak membenarkan mereka melalui laluan itu.
Penyokong hak asasi haiwan dan beberapa ahli politik menyifatkan perlakuan itu sebagai kejam, namun kerajaan dan industri mengatakan mereka berada dalam keadaan baik.
Kerajaan minggu lalu menolak permohonan pengeksport untuk menghantar haiwan itu ke Israel melalui Afrika ia disebabkan perjalanan tersebut memakan masa yang lama iaitu lebih daripada dua bulan.
"Semua ternakan dari kapal MV Bahijah akan dilepaskan dan dibawa dengan trak dari Fremantle Port ke premis yang sesuai di Australia Barat," kata Kementerian Pertanian.
Proses itu akan mengambil masa beberapa hari dan haiwan berkenaan akan dikuarantin mengikut peraturan biosekuriti Australia.
Empat ekor lembu dan 60 ekor biri-biri telah mati di atas kapal sejak ia belayar, kata kementerian itu, namun angka itu masih berada pada paras rendah.
Kebanyakan haiwan itu mungkin akan dieksport semula selepas tempoh yang singkat di darat, kata Geoff Pearson di kumpulan ladang WAFarmers.
Australia mengeksport lebih daripada setengah juta biri-biri hidup dan setengah juta lembu hidup tahun lepas.
Kerajaan Buruh berhaluan kiri berjanji untuk mengharamkan eksport biri-biri hidup, namun tindakan itu akan menyebabkab orang ramai kehilangan pekerjaan dan memusnahkan komuniti penternak.- REUTERS