fb fb fb fb fb

Tentera Zionis tembak mati lima penduduk Palestin

QALQILYAH, 15 April - Tentera rejim Zionis terus mencemari kesucian Ramadan dengan menembak mati lima penduduk Palestin termasuk seorang peguam di Tebing Barat.

Empat lagi mangsa merupakan remaja yang maut dalam operasi memerangi keganasan rejim masuk hari keenam.

Kementerian Kesihatan Palestin berkata, Mohammed Assaf, 34, seorang peguam yang bekerja untuk sebuah jabatan Pertubuhan Pembebasan Palestin maut akibat ditembak di Nablus, berhampiran Makam Nabi Yusuf pada Rabu.

Menurut saksi, Assaf menghantar anak saudaranya ke sekolah berhampiran dan berhenti di tepi jalan untuk menyaksikan satu pertempuran yang meletus di kawasan kubur terbabit.


(Penduduk Palestin menjulang gambar Mohammed Assaf yang maut akibat ditembak tentera Zionis)

"Apa yang berlaku hari ini ialah sasaran dan pembunuhan terhadap peguam Muhammad Hassan Assaf, yang bekerja di Suruhanjaya Penentangan Tembok dan Penempatan di Nablus. Dia ditembak askar rejim, yang pada asalnya mengawal perarakan untuk peneroka yang menyerbu Makam Nabi Yusuf di timur Nablus. Ini adalah perangai penjajah," kata saksi tersebut.

Dalam kejadian berasingan, Kementerian Kesihatan Palestin memaklumkan askar turut menembak dan membunuh seorang remaja berusia 14 tahun berhampiran Baitullaham manakala seorang lagi ditembak dalam kejadian di Ramallah.

Sementara itu, dua lagi remaja Palestin maut ditembak dalam kejadian di daerah Jenin semasa serbuan tentera rejim pada Khamis.

Sekurang-kurangnya 20 rakyat palestin terbunuh dalam gelombang keganasan sejak 22 Mac lalu.

Media Baharu