fb fb fb fb fb

Rusia akan kukuhkan sistem pertahanan jika Finland dan Sweden sertai NATO

MOSCOW, 15 April - Rusia mendakwa akan mengukuhkan sistem pertahanannya di Laut Baltik jika Finland dan Sweden menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Ini termasuk menggunakan senjata nuklear ketika pencerobohan ke atas Ukraine masuk minggu ketujuh.

Memetik laporan The Guardian, Timbalan pengerusi majlis keselamatan Rusia, Dmitry Medvedev berkata, Rusia akan meningkatkan semua angkatan ketenteraannya di rantau itu jika kedua-dua negara berkenaan menyertai pakatan yang diketuai Amerika Syarikat.

Menurutnya, keanggotaan kedua-dua negara itu bermakna tiada lagi perbincangan mengenai status bebas nuklear untuk Baltik dan menggesa keseimbangan mesti dipulihkan".

Perdana Menteri Finland, Sanna Marin dalam satu kenyataan baru-baru ini berkata, kebarangkalian bagi keahlian itu akan dibincangkan dalam masa beberapa minggu akan datang.


(Foto fail)

Finland, dan jirannya Sweden, sebelum ini telah mengelak daripada menjadi ahli NATO dalam usaha untuk tidak mencetuskan provokasi terhadap Rusia, namun pencerobohan Ukraine mencetuskan pertimbangan semula tentang keahlian itu.

Jika mereka menyertai NATO, kedua-dua negara akan mendapat manfaat daripada klausa pertahanan perikatan, yang menyeru semua ahli untuk mempertahankan mana-mana sekutu yang diserang.

Sementara itu, Finland menegaskan negara itu tidak menghadapi ancaman ketenteraan serta merta.

Menteri Pertahanannya, Atti Kaikkonen menjelaskan, situasi ketenteraan di sempadan juga tenang.

Namun katanya, Finland mesti bersedia untuk penggunaan, atau ancaman penggunaan kekuatan tentera terhadapnya, serta untuk tekanan politik.

Media Baharu