KYIV, 2 Oktober- Tentera Ukraine mula memasuki bandar Lyman di timur wilayah Donestsk, satu daripada empat wilayah yang diisytiharkan Rusia sebagai miliknya Jumaat lalu.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, berkata pihaknya bertekad akan memasuki lebih banyak kawasan empat wilayah berkenaan dalam masa terdekat.
"Sepanjang minggu ini, lebih banyak bendera Ukraine dikibarkan di Donbas.
Akan ada lebih banyak lagi dalam tempoh seminggu ini," katanya dalam ucapan di sini.
Penawanan semula bandar Lyman menandakan kemenangan pertama tentera Ukraine di wilayah yang didakwa milik Kremlin, malah ia cuba dipertahankan tentera Moscow selama berminggu-minggu sebelum ini.
Kementerian Pertahanan Ukraine mengesahkan tenteranya sudah memasuki Lyman di timur wilayah Donetsk selepas berjaya mengepung ribuan tentera Rusia berhampiran bandar itu.
Malah, kementerian itu turut menyiarkan sebuah video yang memaparkan tentera Ukraine memegang bendera negara berkenaan berhampiran papan tanda bandar terbabit.
(Tentera Ukraine berdiri di hadapan bangunan Pihak Berkuasa Tempatan Lyman / Foto REUTERS)
Susulan pengumuman Ukraine mengenai penawanan semula tenteranya di bandar Lyman, Kementerian Pertahanan Rusia mengesahkan negara itu meminta tentera mereka berundur dari bandar terbabit ke kawasan lain yang dipersetujui.
Dalam perkembangan terbaharu itu, serangan balas Kyiv selama seminggu terhadap pencerobohan Moscow berlaku ketika Menteri Pertahanan Jerman membuat lawatan mengejut ke Ukraine.
Ia juga berlaku ketika Rusia berdepan tuduhan membunuh 24 orang awam di rantau timur Kharkiv.
Sementara itu, pakar memberi amaran bahawa Presiden Rusia, Vladimir Putin, dijangka menggunakan senjata nuklear untuk mempertahankan wilayah ditaklukinya susulan kerugian yang ditanggung semakin tinggi. - AFP