BAGHDAD, 2 Oktober- Pertempuran tercetus antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan yang mencederakan berpuluh-puluh orang ketika ribuan rakyat negara itu berkumpul di ibu negara Iraq.
Ia sebagai memperingati tiga tahun sejak demonstrasi di seluruh negara meletus menentang rasuah.
Tunjuk perasaan terbaharu di Baghdad berlaku ketika Iraq dibelenggu kelumpuhan politik sejak pilihan raya Oktober tahun lalu yang gagal melantik presiden, perdana menteri atau kerajaan baharu.
Penunjuk perasaan melaungkan slogan 'rakyat menuntut kejatuhan rejim' di Dataran Tahrir yang menjadi pusat pergerakan tunjuk perasaan.
Potret mereka yang terbunuh dalam gelombang tunjuk perasaan tiga tahun lalu juga dipegang oleh penunjuk perasaan.
Demonstrasi itu bertujuan mengecam pengangguran yang berleluasa dan infrastruktur negara yang semakin merosot.
Protes itu berlarutan selama berbulan-bulan sebelum berakhir susulan sekatan COVID-19 dan tindakan keras yang menyaksikan sekurang-kurangnya 600 penunjuk perasaan terbunuh dan puluhan ribu lagi cedera.
(Penunjuk perasaan membaling batu dan botol ke arah pasukan keselamatan
dalam protes yang berlaku di Jambatan Al-Jumhuriya / Foto AFP)
Mereka berkumpul di Jambatan Al-Jumhuriya dengan cubaan untuk merempuh halangan yang dipasang oleh pasukan keselamatan bagi menghalang mereka masuk ke Zon Hijau yang menempatkan bangunan kerajaan dan wakil kedutaan.
Penunjuk perasaan membuang penghadang besi ke dalam sungai.
Menurut pegawai Kementerian Dalam Negeri, 18 polis cedera selepas dibaling dengan batu dan botol kaca
Polis bertindak balas dengan menembak bom asap untuk menyuraikan penunjuk perasaan.
Ia menyebabkan sekurang-kurangnya 28 penunjuk perasaan mengalami kesukaran bernafas.-AFP