FORT MYERS, 2 Oktober- Taufan Ian yang membadai Florida sebelum ini kian melemah dan bertukar menjadi ribut pascatropika apabila melanda Carolina Selatan.
Disifatkan antara ribut terburuk melanda Amerika Syarikat (AS), Ian membawa angin berkelajuan maksimum 140 kilometer sejam.
Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat (NHC) memaklumkan, Ian yang mula melanda Georgetown di Carolina Selatan semalam membawa bersama hujan lebat, banjir kilat dan angin kencang.
Akibatnya, dianggarkan kira-kira 147,000 pelanggan terputus bekalan elektrik.
Sementara itu, pihak berkuasa memaklumkan, angka kematian di Florida mencecah 23 orang.
(Sebuah bot terdampar di atas trak pikap selepas taufan Ian melanda Pulau San Carlos semalam / Foto AFP)
17 pendatang asing juga masih hilang selepas bot yang dinaiki karam ketika ribut.
Seorang ditemukan maut dan sembilan lagi berjaya diselamatkan, termasuk empat warga Cuba yang berenang ke pantai di Florida Keys.
Kebanyakan kematian adalah akibat lemas.
Kemusnahan dianggarkan bernilai puluhan bilion dolar AS dengan Presiden, Joe Biden mengatakan ia akan mengambil masa bertahun-tahun untuk dipulihkan.
Tenaga kerja pemulihan pula ditingkatkan kepada lebih 21,000 petugas. -AFP