fb fb fb fb fb

Kanak-kanak lima tahun antara 129 maut dalam rusuhan bola sepak di Indonesia

JAKARTA, 2 September- Sekurang-kurangnya 127 orang maut dalam rusuhan di stadium Kanjuruhan di Indonesia malam tadi.

Penyokong Arema FC menyerbu padang selepas pasukan mereka tewas 3-2 kepada Persebaya Surabaya, kekalahan pertama dalam tempoh lebih dua dekad kepada musuh ketat mereka.

Polis menyifatkan tindakan tersebut sebagai rusuhan dan cuba memujuk peminat untuk kembali ke tempat duduk penonton.

Gas pemedih mata dilepaskan bagi menyuraikan penyokong yang bertindak di luar kawalan sehingga menyebabkan dua pegawai polis maut.

Ramai mangsa yang terpijak sehingga mati.

Ketua polis Jawa Timur, Nico Afinta dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan 127 telah maut termasuk dua pegawai polis.

Bagaimanapun kemaskini terbaharu menyaksikan bilangan mangsa terkorban telah meningkat kepada 129 orang.

"Mereka keluar ke satu kawasan di pintu keluar, kemudian berpusu-pusu ke kawasan itu, sehingga ada yang sesak nafas dan kekurangan oksigen," kata Nico.

(Sekumpulan penyokong mengangkat seorang lelaki yang tidak sedarkan diri dalam rusuhan di stadium Kanjuruhan)

Kerajaan Indonesia memohon maaf atas kejadian itu dan berjanji untuk menyiasat insiden berkenaan secara menyeluruh.

“Kami kesal dengan kejadian ini, ini adalah insiden yang mencalarkan imej bola sepak kami.

Kami akan menilai secara menyeluruh penganjuran perlawanan dan kehadiran penyokong. Adakah kami akan kembali melarang penyokong daripada menghadiri perlawanan? Itu yang akan kami bincangkan,” kata Menteri Belia dan Sukan Indonesia, Zainudin Amali. -AFP

Media Baharu