fb fb fb fb fb

Tentera Ukraine mula masuki wilayah Kherson

(Foto REUTERS)

KIEV, 24 Julai- Pasukan tentera Ukraine kini mula memasuki timur Kherson dalam cubaan menawan kembali wilayah tersebut daripada tentera Rusia.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy berkata, tentera Rusia cuba bertahan di wilayah tersebut namun ia tidak akan dibenarkan oleh pasukannya.

Dalam pada itu, Rusia telah melancarkan serangan di pelabuhan Laut Hitam Odesa, semalam.

Zelensky menyifatkan serangan ke atas pelabuhan laut Hitam, Odesa hanya akan menyukarkan proses damai. Jelasnya, serangan itu akan menjejaskan perjanjian memberi laluan eksport bijirin yang dimeterai sehari sebelumnya.


(Anggota bomba melaksanakan operasi pembersihan di pelabuhan Odesa/REUTERS)

Perjanjian yang ditandatangani pada hari Jumaat lalu antara Moscow dan Kiev bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Turkiye dipuji sebagai satu kejayaan selepas lima bulan pencerobohan Rusia terhadap Ukraine.

Perjanjian itu dilihat penting untuk mengawal kenaikan harga makanan global dengan membenarkan eksport bijirin yang dihantar dari pelabuhan Laut Hitam.

Sementara itu, serangan ke atas Odesa mendapat kecaman hebat daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat, Britain, Jerman dan Itali.

Menteri Pertahanan Turki berkata pihak Rusia memberitahu Ankara bahawa Moscow tiada kaitan dengan serangan ke atas Odesa. Kenyataan Kementerian Pertahanan Rusia tidak menyebut sebarang serangan peluru berpandu di Odesa.

Menurut tentera Ukraine, dua peluru berpandu telah membedil kawasan di pelabuhan, manakala dua lagi ditembak jatuh oleh pasukan pertahanan udara. Jurucakap tentera udara Ukraine, Yuriy Ignat berkata peluru berpandu itu ditembak dari kapal perang di Laut Hitam berhampiran Crimea.

Bagaimanapun, kawasan penyimpanan bijirin di pelabuhan itu tidak terjejas.

"Malangnya ada yang cedera. Infrastruktur pelabuhan telah rosak," kata Gabenor wilayah Odesa, Maksym Marchenko.

Menteri Infrastruktur, Oleksandr Kubrakov berkata akan meneruskan persiapan teknikal untuk pelancaran eksport produk pertanian dari pelabuhan itu.- REUTERS

Media Baharu