fb fb fb fb fb

Biden positif COVID-19, gejala berkurangan, berasa sihat

(Sakit tekak, hidung berair, batuk dan sakit badan dialaminya turut berkurangan,
menurut doktornya, Dr. Kevin O'Connor, dalam satu memo pada Sabtu/REUTERS)


WASHINGTON, 24 Julai- Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden menyatakan masih berasa sihat walaupun selepas White House mengumumkan beliau positif COVID-19 dan sedang menjalani kuarantin kendiri.

Sakit tekak, hidung berair, batuk dan sakit badan dialaminya turut berkurangan, menurut doktornya, Dr. Kevin O'Connor, dalam satu memo pada Sabtu.

Paru-paru Biden kekal bersih dan ketepuan oksigennya terus cemerlang menurut doktor berkenaan.

Biden, 79, disahkan positif COVID-19 pada Khamis, apabila White House memaklumkan beliau mengalami gejala ringan.

Diagnosisnya disahkan ketika subvarian COVID-19 kembali menular menyaksikan gelombang kes baharu di Amerika Syarikat (AS).

Biden berkemungkinan besar mempunyai varian BA5 itu, kata O'Connor.

"Keadaan kesihatan presiden terus menerima dan memberi respon terhadap rawatan dengan baik.

Kami akan meneruskan PAXLOVID seperti yang dirancang," katanya, merujuk kepada ubat antivirus Pfizer Inc (PFE.N) yang diambil Biden.

Biden tidak mengalami sesak nafas, kata O'Connor.

"Varian BA5 sangat mudah menular dan Biden akan terus menjalani kuarantin," kata O'Connor.

(Biden,79, disahkan positif COVID-19 pada hari Khamis, apabila White House memaklumkan
beliau mengalami gejala ringan/REUTERS)


“Kami akan terus memantaunya dengan teliti," katanya.

Semasa mengumumkan Biden dijangkiti COVID-19, pegawai-pegawai White House mengenepikan soalan tentang lokasi Biden dijangiti CPVID-19 dengan berkata, perkara itu tidak penting.

Bagaimanapun, mereka lebih menekankan penjelasan waktu di mana Biden mula menunjukkan simptom dan sama ada Presiden AS itu mematuhi panduan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) mengenai prosedur kuarantin kendiri.

Dalam rakaman video yang disiarkan di laman Twitter, Biden yang berusia 79 tahun cuba meyakinkan bahawa keadaan akan menjadi baik-baik sahaja.

“Hai semua, saya rasa anda dengar: Pagi ini saya positif ujian Covid-19. Namun, saya telah menerima dua dos penggalak. Simptomnya ringan dan saya sangat menghargai pertanyaan dan kebimbangan anda.

“Saya baik-baik sahaja dan banyak kerja perlu diuruskan. Saya akan terus menyelesaikannya dan sementara itu, terima kasih atas keprihatinan anda. Ia akan baik-baik sahaja,” katanya. -REUTERS

Media Baharu