fb fb fb fb fb

WHO isytihar cacar monyet darurat kesihatan global

(Individu dijangkiti cacar monyet/Fail AFP)

GENEVA, 24 Julai- Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengisytiharkan penularan wabak cacar monyet sebagai darurat kesihatan global, amaran tahap tertinggi.

Wabak yang telah menjangkiti hampir 17,000 orang di 74 buah negara itu kini amat membimbangkan.

"Saya telah memutuskan bahawa penularan cacar monyet global adalah kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan diperingkat antarabangsa," kata Ketua Pengarah, WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus pada sidang akhbar.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, mesyuarat jawatankuasa pakar pada Khamis lalu tidak dapat menetapkan keputusan tersebut, sebaliknya menyerahkan kepada beliau untuk memutuskan untuk mengeluarkan amaran tersebut.

Penilaian WHO mendapati risiko cacar monyet adalah sederhana di peringkat global dan di semua rantau kecuali di rantau Eropah yang mencatatkan risiko paling tinggi.


(Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus/Fail AFP)

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat memaklumkan, cacar monyet telah menjejaskan lebih 16,800 orang di 74 negara.

Washington mengalu-alukan deklarasi WHO sebagai seruan kepada masyarakat antarabangsa bertindak mengekang penyebaran virus tersebut.

"Penyelarasan tindakan antarabangsa adalah penting untuk menghentikan penyebaran cacar monyet, melindungi komuniti yang paling berisiko dijangkiti penyakit itu, dan memerangi wabak semasa," kata Pengarah Kanan Bahagian Keselamatan Kesihatan Global, White House, Raj Panjabi.

Lonjakan jangkitan penyakit tersebut telah dilaporkan sejak awal Mei di negara barat dan Afrika Tengah, di mana penyakit itu telah menjadi endemik.

Pada 23 Jun lalu, WHO telah mewujudkan jawatankuasa kecemasan untuk memutuskan sama ada cacar monyet merupakan 'kecemasan kesihatan awam' yang menimbulkan kebimbangan peringkat global, tahap amaran tertinggi agensi kesihatan PBB.

Bagaimanapun, majoriti menasihatkan Tedros bahawa keadaan, pada ketika itu, belum mencapai ambang.

Pertemuan kedua diadakan pada hari Khamis lalu dengan jumlah kes semakin meningkat, di mana Tedros berkata beliau bimbang.

"Saya memerlukan nasihat anda dalam menilai implikasi kesihatan awam jangka masa serta-merta," Tedros memberitahu mesyuarat itu, yang berlangsung lebih enam jam.-AFP

Media Baharu