fb fb fb fb fb

Tentera Thailand, Kemboja adakan rundingan semula gencatan senjata

Foto REUTERS

BANGKOK, 24 Disember - Pegawai tentera Thailand dan Kemboja memulakan rundingan pada Rabu bagi membincangkan usaha menyambung semula gencatan senjata, beberapa hari selepas kedua-dua negara jiran itu bersetuju mengadakan perbincangan susulan konflik sempadan yang berlarutan selama 16 hari dan telah meragut sekurang-kurangnya 86 nyawa.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Thailand, Laksamana Muda Surasant Kongsiri, berkata mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am itu dijangka berlangsung selama tiga hari dan berpotensi membuka laluan kepada satu perjanjian.

Rundingan diadakan di sebuah pusat pemeriksaan di bahagian selatan sempadan bersama kedua-dua negara, meliputi sepanjang 817 kilometer.

"Sekiranya mesyuarat sekretariat berjalan lancar dan menghasilkan persetujuan, satu pertemuan antara menteri pertahanan kedua-dua negara akan diadakan pada 27 Disember," katanya kepada pemberita di sini.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Maly Socheata dalam pada itu memaklumkan, rundingan bermula pada pukul 4.30 petang waktu tempatan dan dipimpin oleh jeneral dari kedua-dua pihak.

Pertemuan tersebut disifatkan sebagai langkah paling signifikan sejak pertempuran kembali tercetus, selepas beberapa usaha berasingan oleh Malaysia, China dan Amerika Syarikat sebelum ini gagal membawa kedua-dua negara ke meja rundingan.

Thailand dan Kemboja saling menuduh antara satu sama lain melakukan pencerobohan serta melanggar gencatan senjata dipertingkatkan, yang dicapai pada Oktober lalu di Malaysia, di hadapan Presiden Donald Trump.

Dalam perjanjian tersebut, kedua-dua pihak berjanji melaksanakan kerja penyahcaman periuk api serta menarik balik anggota tentera dan senjata berat dari kawasan yang telah lama menjadi pertikaian kedaulatan.

Menjelang rundingan juga, pertempuran masih berterusan dengan kedua-dua pihak bertempur di beberapa lokasi sejak awal Disember, meliputi kawasan hutan berhampiran Laos hingga ke wilayah pesisir Teluk Thailand.

Menurut pihak berkuasa Kemboja, sekurang-kurangnya 21 orang awam terbunuh dan lebih setengah juta penduduk terpaksa berpindah.

Di Thailand pula, sekurang-kurangnya 65 orang terkorban manakala lebih 150,000 penduduk dipindahkan dari kediaman masing-masing.- REUTERS

EZA YUSMAWATI YAACOP