fb fb fb fb fb

Harga emas antarabangsa cecah rekod tertinggi, dipengaruhi faktor geopolitik

Foto REUTERS

LONDON, 24 Disember- Harga emas antarabangsa melonjak ke paras tertinggi baharu pada Rabu, didorong oleh peningkatan ketegangan geopolitik, kekangan bekalan dan permintaan pasaran serta pertambahan permintaan aset selamat.

Sejak awal tahun ini, harga emas global telah meningkat lebih 70 peratus, mencerminkan sentimen pelabur yang semakin berhati-hati terhadap ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik global.

Di New York, kontrak niaga hadapan emas paling aktif bagi Februari 2026 di Bursa New York Mercantile Exchange (NYMEX) naik sebanyak 46.3 dolar Amerika Syarikat (AS) untuk ditutup pada paras 4,505.7 dolar AS satu auns.

Sementara itu, harga emas semasa di London turut melepasi paras 4,500 dolar AS satu auns, sekali gus mencatatkan rekod tertinggi baharu.

Penganalisis berkata, tekanan geopolitik yang meningkat susulan ketegangan antara Amerika Syarikat dan Venezuela, selain penyusutan berterusan indeks dolar AS, telah menyokong kenaikan harga kontrak niaga hadapan logam berharga yang didenominasikan dalam dolar AS.

Data menunjukkan indeks dolar AS telah susut hampir 10 peratus setakat tahun ini dan berpotensi mencatatkan prestasi tahunan terburuk sejak 2003. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM