fb fb fb fb fb

Israel terus biadap, robohkan kediaman keluarga Palestin

Dua kanak-kanak berdiri di atas runtuhan rumah yang dirobohkan tentera Israel sambil mengibarkan bendera Palestin di kampung Bazzaryah, Tebing Barat yang diduduki Israel./Foto AFP

BAZZARYAH, 24 Disember – Rejim Israel meneruskan tindakan zalimnya terhadap rakyat Palestin apabila tentera Zionis dengan rakusnya merobohkan sebuah rumah di Tebing Barat yang diduduki, milik keluarga seorang lelaki Palestin yang dituduh 'kononnya' terlibat dalam serangan awal tahun ini sehingga mengorbankan seorang warga negara haram Israel.

Insiden serangan itu didakwa berlaku pada 10 Julai lalu di sebuah kawasan beli-belah berhampiran Baitulmaqdis.

Pada Rabu, jentolak tentera Israel dilihat menceroboh masuk ke kampung Bazzaryah di Tebing Barat, sebelum rejim Zionis meruntuhkan kediaman tersebut selepas kawasan itu dikosongkan secara paksa.

Tentera Israel dalam satu kenyataan bacul menyifatkan mangsa sebagai 'pengganas', sambil mempertahankan tindakan perobohan itu sebagai sebahagian operasi keselamatan.

Ketua Majlis Perbandaran Bazzaryah, Hazem Yassine bagaimanpun mengecam keras tindakan tersebut dan menyifatkannya sebagai satu 'jenayah kejam dan tidak berperikemanusiaan'.

"Tentera Israel telah menutup semua laluan masuk ke kampung itu sejak awal pagi, sekali gus melumpuhkan aktiviti harian penduduk.

"Sekolah-sekolah juga terpaksa ditutup sebagai langkah keselamatan ketika tentera Israel melaksanakan perobohan," tambahnya sambil menambah keluarga terbabit telah dihalau keluar kira-kira sebulan lalu selepas menerima notis perobohan.

Dalam pada itu jurugambar agensi berita AFP menyaksikan kanak-kanak memanjat timbunan runtuhan rumah yang musnah sambil mengibarkan bendera Palestin, mencerminkan kesan trauma dan penderitaan yang berterusan dialami penduduk awam.

Israel, yang menduduki Tebing Barat sejak 1967, secara konsisten merobohkan rumah rakyat Palestin yang dituduh melakukan serangan, satu amalan yang sering dikecam masyarakat antarabangsa.

Kumpulan hak asasi manusia menegaskan ia merupakan hukuman kolektif yang melanggar undang-undang antarabangsa dan menyebabkan keluarga tidak bersalah kehilangan tempat tinggal.

Keganasan di Tebing Barat semakin memuncak susulan serangan berterusan Israel di Gaza yang tercetus pada 7 Oktober 2023.- AFP

 

EZA YUSMAWATI YAACOP