fb fb fb fb fb

Tentera Sudan gagalkan serangan dron ke atas pangkalan tentera laut terbesar negara

FOTO REUTERS

PORT SUDAN, 7 Mei- Angkatan Tentera Sudan (SAF) berjaya mematahkan satu lagi serangan dron yang menyasarkan pangkalan tentera laut terbesar negara di Port Sudan pagi tadi, menjadikan ini hari keempat berturut-turut bandar strategik di pesisir Laut Merah itu menjadi sasaran.

Menurut sumber tentera, sistem pertahanan udara telah melancarkan peluru berpandu untuk memintas dron tersebut yang dipercayai dilancarkan oleh pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF).

Serangan terbaharu itumenyusul selepas siri serangan sejak Ahad lalu, termasuk ke atas Pangkalan Udara Osman Digna dan beberapa kemudahan lain di sekitar bandar.

Pada Isnin, satu serangan dron di kemudahan simpanan minyak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Baharu Port Sudan menyebabkan kebakaran besar. Serangan diteruskan pada Selasa dengan beberapa sasaran penting seperti lapangan terbang dan kemudahan pelabuhan turut terkena.

Setakat ini, RSF masih belum memberikan sebarang maklum balas terhadap tuduhan tersebut.

Port Sudan yang kini berfungsi sebagai pusat pentadbiran de facto Sudan selepas pemindahan institusi kerajaan utama ke bandar itu pada Mei 2023, turut menempatkan pejabat pelbagai agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) serta ratusan ribu penduduk yang dipindahkan akibat konflik.

Lapangan terbangnya kekal sebagai pintu keluar masuk utama bagi perjalanan antarabangsa, menjadikannya sasaran utama serangan baru-baru ini.

Dalam pada itu, RSF dilihat semakin giat melancarkan serangan dron ke atas infrastruktur kritikal di kawasan di bawah kawalan SAF. Namun begitu, tentera kerajaan turut mencatat kejayaan strategik, termasuk menawan semula pusat bandar Khartoum pada Mac lalu merangkumi Istana Presiden, Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum serta beberapa lokasi penting lain.

Sudan terus dilanda krisis sejak pertelingkahan bersenjata tercetus antara SAF dan RSF pada pertengahan April 2023, yang telah meragut puluhan ribu nyawa. Menurut Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM), lebih 15 juta orang telah dipindahkan sama ada dalam negara atau ke luar negara menjadikan konflik itu antara bencana kemanusiaan paling parah di dunia masa kini.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE