WASHINGTON, 7 Mei- Amerika Syarikat memantau rapat situasi antara India dengan Pakistan susulan serangan peluru berpandu oleh India ke atas sasaran di Pakistan dan Wilayah Kashmir yang ditadbir Pakistan
Setiausaha Negara Marco Rubio dalam kenyataan menyuarakan harapan agar ketegangan itu dapat diselesaikan dengan segera.
“Kami akan terus berhubung dengan kepimpinan India dan Pakistan ke arah penyelesaian secara aman,” katanya.
Terdahulu, Presiden Donald Trump mengulas situasi itu dan menekankan kepentingan untuk meredakan ketegangan antara dua negara yang memiliki senjata nuklear.
Rubio yang juga Penasihat Keselamatan Negara dilaporkan telah mengadakan perbincangan dengan Penasihat Keselamatan Negara India dan Pakistan.
Beliau turut menggesa kedua-dua pihak agar terus membuka saluran komunikasi dan mengelak sebarang peningkatan ketegangan.
Ketegangan terbaharu itu tercetus susulan serangan pada 22 April di Pahalgam, Kashmir yang ditadbir India, yang mengorbankan 26 orang.
India menyalahkan Pakistan atas serangan itu dan mendakwa terdapat kaitan rentas sempadan.
Namun Pakistan menafikan penglibatan dalam kejadian berkenaan. - Bernama