fb fb fb fb fb

11 terkorban dalam serangan udara Israel di Gaza

FOTO AFP

GAZA CITY, 7 Mei- Sekurang-kurangnya 11 orang, termasuk lapan sekeluarga, dilaporkan terbunuh dalam serangan udara terbaharu Israel di Gaza, menurut kenyataan Agensi Pertahanan Awam wilayah itu hari ini.

Menurut jurucakap pertahanan awam Gaza, Mahmud Bassal, serangan paling dahsyat dilaporkan berlaku di kediaman sebuah keluarga di bandar Khan Yunis di selatan Gaza, mengorbankan lapan ahli keluarga Al-Qidra dan mencederakan 12 yang lain. Mangsa yang maut berusia antara dua hingga 54 tahun.

Satu lagi serangan menyasarkan sebuah rumah di kem pelarian Jabalia, utara Gaza, mengakibatkan tiga maut dan lapan lagi cedera.

Setakat ini, pihak tentera Israel masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung serangan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Israel dilapor bakal memperluas operasi ketenteraannya di Gaza. Seorang pegawai Israel menyatakan tindakan itu bertujuan menawan sepenuhnya”wilayah terbabit, manakala Menteri Kewangan sayap kanan Israel pada Selasa lalu menyuarakan gesaan agar Gaza “dimusnahkan sepenuhnya”.

Konflik kembali tercetus sejak 18 Mac lalu selepas gencatan senjata dua bulan berakhir, susulan serangan Hamas pada Oktober 2023. Kementerian Kesihatan di Gaza yang ditadbir Hamas memaklumkan jumlah korban sejak serangan semula Israel meningkat kepada sekurang-kurangnya 2,507 orang, menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat perang kini mencecah 52,615 orang.

Pada Selasa, Hamas menyifatkan rundingan gencatan senjata sebagai tidak bermakna, menuduh Israel melancarkan “perang kebuluran” terhadap Gaza.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pula terus memberi amaran mengenai bencana kemanusiaan yang semakin meruncing, dengan kebuluran dilaporkan bakal melanda sekali lagi susulan sekatan bantuan kemanusiaan oleh Israel selama lebih dua bulan.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE