KIEV, 17 Februari – Tentera Rusia telah meningkatkan serangan secara mendadak di timur Ukraine, menurut kenyataan tentera Kiev pada Ahad, ketika seorang pegawai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) meramalkan Moscow akan mempercepatkan kadar dan intensiti serangan menjelang rundingan damai.
Serangan utama tertumpu berhampiran hab logistik Pokrovsk yang sedang terancam.
Kiev memaklumkan pegawai Amerika Syarikat (AS) dan Rusia dijangka mengadakan rundingan dalam beberapa hari akan datang di Arab Saudi, sementara Presiden AS, Donald Trump, giat mengusahakan usaha damai.
Tentera Kiev melaporkan sebanyak 261 pertempuran dengan Rusia dalam tempoh 24 jam pada Sabtu, menjadikannya jumlah terbesar yang dicatatkan sepanjang tahun ini.
Jumlah itu lebih dua kali ganda berbanding purata 100 pertempuran sehari yang dilaporkan sebelum ini.
"Hari ini merupakan hari paling sukar bagi tahun 2025 di medan perang," tulis blog ketenteraan Ukraine, DeepState, lewat Sabtu.
Laporan ketenteraan pada malam Ahad menunjukkan jumlah pertempuran dalam tempoh 24 jam telah menurun kepada 117, dengan 38 pertempuran berlaku di sektor Pokrovsk dan satu masih berterusan.
Tentera Moscow terus mara secara beransur-ansur di timur sejak separuh kedua tahun 2024, dengan penguasaan kampung demi kampung diumumkan.
Namun, berdasarkan data ketenteraan Ukraine, intensiti pertempuran menurun pada Januari tahun ini.
Meskipun berada dalam keadaan bertahan, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, melaporkan perkembangan positif di timur negara itu.
Pada Khamis, seorang jurucakap tentera mengesahkan bahawa pasukan Kiev berjaya merampas semula kampung Pishchane, kira-kira 5 km di selatan Pokrovsk.
"Ia bukan disebabkan kelemahan ketara pihak Rusia atau senjata ajaib yang dihantar ke Ukraine, tidak.
Sebaliknya, beberapa langkah organisasi telah diambil untuk membantu pasukan Ukraine bertindak dengan lebih berkesan," kata jurucakap tentera, Viktor Trehubov, kepada Reuters.
Dalam usaha meningkatkan kedudukannya di medan perang, Ukraine telah melancarkan serangan dron ke wilayah Rusia.
Sementara itu, Rusia terus melancarkan serangan dron dan peluru berpandu secara berkala di samping meneruskan kemaraan di timur.
"Saya menjangkakan satu dorongan serangan yang lebih kuat. Saya menjangkakan kita akan melihat... banyak usaha Rusia untuk mara," kata seorang pegawai NATO yang enggan dikenali kepada Reuters.-REUTERS