fb fb fb fb fb

Anak panda kembar pertama Hong Kong buat kemunculan sulung

FOTO REUTERS

HONG KONG, 17 Februari- Anak panda kembar pertama di Hong Kong yang kini berusia enam bulan membuat kemunculan sulung di Ocean Park pada Ahad, menarik perhatian ratusan pengunjung yang menantikan peluang melihat haiwan berkenaan.

Anak panda dikenali sebagai 'Kakak Sulung' dan 'Adik Lelaki' itu dilahirkan pada 15 Ogos tahun lalu daripada induk bernama Le Le dan Ying Ying yang diberikan sebagai hadiah oleh kerajaan pusat kepada Hong Kong.

Orang ramai mula beratur sejak awal pagi dengan sebahagian mereka menunggu lebih sejam bagi sesi tontonan yang dihadkan kepada lima minit setiap kumpulan.

Seorang pelancong dari Shenzhen, Monica Muo, 24, yang hadir bersama Yiyi Tan, 5, meluahkan keterujaan mereka.

"Ketika melihat 'Kakak Sulung' dan 'Adik Lelaki', apa yang mereka lakukan ketika kita masuk?" tanya Muo kepada Tan.

"Mereka memanjat pokok dan ketika bermain di buaian, mereka juga tergolek jatuh," jawab Tan.

"Ya, mereka sangat comel, montel seperti dua bebola pulut kecil," tambah Muo.

Ibu mereka, 'Ying Ying' mencipta sejarah tahun lalu sebagai panda gergasi tertua pernah direkodkan melahirkan anak apabila melahirkan pasangan kembar itu sehari sebelum ulang tahunnya yang ke-19.

Fenomena panda semakin meluas di Hong Kong dengan pelbagai hiasan, barangan dan promosi bertemakan panda diperkenalkan di seluruh bandar.

Ocean Park menjangkakan sehingga 5,000 pengunjung setiap hari dalam tempoh tontonan dari pukul 10.00 pagi hingga 3.00 petang waktu tempatan. -Reuters

SITI AISHAH MD ISA