fb fb fb fb fb

Saintis UK rekod data radiasi ribut suria pertama dunia

Foto REUTERS

LONDON, 27 November – Pusat Angkasa Universiti Surrey bersama Pejabat Meteorologi United Kingdom (Met Office) melancarkan sensor radiasi baharu menggunakan belon cuaca bagi mengumpulkan data berhubung radiasi ribut suria yang boleh menjejaskan pesawat, grid tenaga dan satelit.

Sensor tersebut diterbangkan sehingga 100,000 kaki (30 km) dari Camborne di England, Lerwick di Shetland serta De Bilt di Belanda bagi mengukur zarah bercas dan paras radiasi di atmosfera atas, menurut Universiti Surrey.

Pelancaran awal pada 17 Oktober lalu menjadi bukti konsep sebelum insiden letusan kelas-X pada 11 November menyebabkan peningkatan radiasi atmosfera yang dianggap paling kuat dalam hampir 20 tahun.

Data masa nyata berjaya direkodkan sepanjang ribut suria itu, sesuatu yang belum pernah dicapai sebelum ini. “Kami percaya ini data pertama dari paras tanah hingga 100,000 kaki dan kembali ke tanah semula,” kata penyelidik utama, Dr. Ben Clewer.

Met Office menjangkakan data tersebut akan meningkatkan ketepatan model ramalan cuaca angkasa mereka. Ribut suria yang kuat boleh mengganggu komunikasi radio, operasi satelit serta penerbangan di latitud tinggi.

Saintis memberi amaran kejadian radiasi atmosfera dijangka lebih kerap berlaku ketika puncak kitaran aktiviti 11 tahun Matahari, malah ribut yang jauh lebih besar berpotensi menjejaskan infrastruktur kritikal global.

“Kami berusaha memastikan dunia bersedia agar tidak berdepan gangguan besar terhadap infrastruktur moden,” kata Clewer. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN