fb fb fb fb fb

Lima bank Iraq dilarang daripada urus niaga dolar AS

Foto Reuters

DUBAI, 17 Februari – Bank Pusat Iraq mengeluarkan larangan ke atas lima lagi bank tempatan daripada menjalankan urus niaga dalam mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) dalam usaha membanteras pengubahan wang haram dan penyeludupan mata wang.

Larangan itu dibuat susulan pertemuan pegawai Bank Pusat Iraq dengan pegawai Perbendaharaan AS dan Rizab Persekutuan di Dubai minggu lalu, menurut sumber yang mengetahui perkara tersebut.

Sebelum ini, lapan bank Iraq telah dikenakan sekatan yang sama pada tahun lalu.

Lima bank yang terlibat dalam larangan terbaharu itu ialah Al-Mashreq Al-Arabi Islamic Bank, United Bank for Investment, Al Sanam Islamic Bank, Misk Islamic Bank dan Amin Iraq For Islamic Investment and Finance.

Iraq, yang bergantung kepada hubungan baik dengan Washington untuk akses kepada hasil minyak, mungkin berdepan tekanan selepas Presiden AS Donald Trump mengumumkan dasar "tekanan maksimum" terhadap Iran.

Iran pula melihat Iraq sebagai sekutu ekonomi penting dan menggunakan sistem perbankan negara itu untuk mengelak sekatan AS.

Tiga syarikat perkhidmatan pembayaran turut dikenakan tindakan iaitu Amawl, AL-Saqi Payment, dan Aqsa Payment.

Bank Pusat Iraq serta Perbendaharaan AS masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung keputusan itu. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN