FORSTER, 27 November – Seorang wanita maut manakala seorang lelaki cedera parah dalam serangan yu di sebuah pantai berhampiran kawasan popular di pantai timur Australia, menurut pihak berkuasa.
Menurut polis negeri New South Wales, perkhidmatan kecemasan digerakkan selepas menerima laporan bahawa dua individu digigit yu di pantai tersebut, kira-kira 350 km (218 batu) utara Sydney.
Wanita tersebut, dipercayai berusia dalam lingkungan 20-an dan masih belum dikenal pasti secara rasmi, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Manakala lelaki yang turut digigit, dipercayai berusia dalam lingkungan 20-an, dihantar ke hospital menggunakan helikopter dalam keadaan kritikal.
Pihak berkuasa menutup pantai berkenaan sementara siasatan dijalankan untuk menentukan spesies yu yang terlibat, bagi memastikan keselamatan pengunjung. -REUTERS