MOSCOW, 27 November – Rusia pada Rabu mendakwa angkatan tenteranya melancarkan serangan ke atas kemudahan tenaga dan pengangkutan di Ukraine, manakala Ukraine pula memaklumkan pasukannya menyerang sebuah loji pembuatan komponen peluru berpandu di Rusia.
Dalam laporan terbaharu, Kementerian Pertahanan Rusia berkata serangan itu menyasarkan 143 lokasi termasuk kemudahan tenaga, infrastruktur pengangkutan dan kilang peluru di seluruh Ukraine dalam tempoh 24 jam lalu.
Pasukan pertahanan udara Rusia turut menembak jatuh enam bom udara berpandu, empat roket HIMARS buatan Amerika Syarikat dan 154 dron sayap kaku, menurut kenyataan tersebut.
Sementara itu, Ketua Turus Angkatan Tentera Ukraine melaporkan pasukan negara itu menyerang Loji VNIIR-Progress di Cheboksary, Rusia, yang menghasilkan komponen dron tempur dan peluru berpandu untuk kegunaan tentera Moscow. Penilaian kerosakan sedang dijalankan.
Selain itu, dron Ukraine turut dilaporkan menyerang pos komando Tentera Ke-58 Rusia di Vasylivka, wilayah Zaporizhzhia, menyasarkan sistem peluru berpandu permukaan-ke-udara Tor-M1 di Mariupol, serta lokasi perhimpunan tentera Rusia di arah Pokrovsk. -REUTERS