HONG KONG, 27 November – Pasukan bomba Hong Kong meneruskan operasi mencari dan menyelamat di beberapa blok pangsapuri yang hangus ketika lebih 250 orang dilaporkan masih hilang susulan tragedi kebakaran paling buruk yang mengorbankan sekurang-kurangnya 55 orang pada Khamis.
Api masih dapat dilihat marak di kompleks perumahan lapan blok yang menempatkan 2,000 unit rumah.
Keadaan itu memaksa anggota bomba melakukan proses pemadaman di bahagian luar bangunan yang hangus.
Pada malam kejadian, sebahagian perancah terbakar jatuh dari bangunan, manakala api terus menyala di beberapa unit, menghamburkan cahaya jingga ke udara.
Timbalan Pengarah Operasi Perkhidmatan Bomba, Derek Armstrong Chan, berkata suhu tinggi dan serpihan yang berterbangan menyukarkan usaha menyelamat di beberapa tingkat.
Menurut Derek, kebakaran di empat bangunan berjaya dipadamkan sepenuhnya. Manakala kebakaran di tiga blok lagi berjaya dikawal.
Sementara itu, perkhidmatan bomba mengesahkan 51 mangsa maut di tempat kejadian manakala empat lagi meninggal dunia di hospital.
Seorang pegawai bomba berusia 37 tahun turut terkorban selepas terputus hubungan dengan rakan setugas ketika bertugas.
Kerajaan Hong Kong turut memaklumkan 61 mangsa sedang dirawat di hospital, termasuk 42 yang berada dalam keadaan kritikal dan serius.
Dalam pada itu, dua wanita warga Indonesia yang bekerja sebagai pembantu rumah disahkan antara yang terkorban oleh Konsulat Indonesia.
Ketua Eksekutif Hong Kong, John Lee, berkata lebih 900 penduduk berlindung di pusat penempatan sementara pada malam kejadian, manakala 279 orang masih belum dapat dihubungi.
Pihak berkuasa Hong Kong telah melancarkan siasatan berhubung punca kebakaran, termasuk penggunaan perancah buluh dan jaring plastik di sekeliling bangunan ekoran kerja pengubahsuaian di lokasi tersebut.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah negara itu turut membuka siasatan berasingan melibatkan kerja pengubahsuaian itu, tidak lama selepas polis menahan tiga lelaki kerana disyaki cuai sehingga menyebabkan kebakaran.
Tragedi itu mengundang simpati masyarakat setempat, dengan orang ramai berkumpul untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa dan anggota bomba melalui pusat bantuan yang diwujudkan berhampiran lokasi kebakaran. -AFP