fb fb fb fb fb

Letupan jambatan Crimea: Lapan lelaki dipenjara seumur hidup

FOTO REUTERS

ROSTOV-ON-DON, 27 November - Mahkamah tentera Rusia pada Khamis menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas lapan lelaki atas peranan mereka dalam serangan bom terhadap jambatan yang menghubungkan wilayah Krasnodar, Rusia,ke Crimea.

Agensi perisikan domestik Ukraine, SBU, mendakwa bertanggungjawab ke atas serangan tersebut, yang berlaku pada Oktober 2022.

Serangan berkenaan merosakkan sebahagian jambatan sepanjang 19 kilometer (KM) selain mengakibatkan lima orang maut.

Letupan jambatan itu turut merosakkan laluan bekalan penting bagi tentera Rusia yang berperang di Ukraine.

Dalam serangan itu, pemandu lori yang membawa bahan letupan terbunuh, bersama empat orang lain di kawasan berhampiran.Sebahagian jambatan juga runtuh.

Lapan lelaki yang disabitkan kesalahan pada Khamis didakwa sebagai sebahagian daripada kumpulan terancang yang membantu Ukraine merencanakan serangan bom tersebut.

Vasyl Malyuk, ketua SBU Ukraine, berkata pada 2023 bahawa bahan letupan itu disorokkan di dalam silinder logam yang tersembunyi di dalam gulungan besar plastik.

Kesemua lapan tertuduh menafikan tuduhan sepanjang perbicaraan tertutup dan mendakwa mereka tidak mengetahui tentang plot itu.

Menurut pendakwa raya, bahan letupan itu diseludup melalui jalan darat dari Ukraine melalui Bulgaria, Armenia dan Georgia. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD