fb fb fb fb fb

Tentera Myanmar serang acara kumpulan pemberontak, 30 maut

(FOTO FAIL/ REUTERS)

YANGON, 11 April- Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh di wilayah tengah Myanmar hari ini selepas junta tentera menyerang satu acara diadakan kumpulan pemberontak menentang pentadbiran tentera, lapor media.

Memetik kenyataan penduduk di kawasan Sagaing, BBC Burmese, Radio Free Asia (RFA), dan portal berita Irrawaddy melaporkan sekurang-kurangnya 50 mangsa termasuk orang awam, terbunuh dalam serangan itu.

Reuters tidak dapat mengesahkan laporan itu dan junta tentera Myanmar tidak menjawab panggilan telefon bagi mendapatkan maklum balas.

Anggota Pasukan Pertahanan Rakyat (PDF), sebuah kumpulan bersenjata menentang junta tentera, memberitahu Reuters bahawa jet pejuang membedil lokasi di mana acara pembukaan pejabat baru mereka diadakan.

"Setakat ini, jumlah kematian atau mereka yang cedera tidak dapat dipastikan kerana operasi mencari dan menyelamat (SAR) belum dapat dilakukan," kata anggota PDF yang enggan dikenali.

Tentera Myanmar, yang menggulingkan kerajaan dipilih secara demokrasi pada 2021, menerima kecaman global kerana tindakan kejamnya cuba mengekang kebangkitan pejuang pro demokrasi dan orang awam.


(FOTO FAIL/ REUTERS)

Bulan lalu, sekurang-kurangnya lapan orang awam termasuk kanak-kanak terbunuh dalam satu serangan udara di barat laut Myanmar, menurut kumpulan hak asasi manusia, pemberontak etnik minoriti dan media.

Sekurang-kurangnya tujuh orang turut terbunuh pada Januari, apabila tentera mengebom sebuah kampung di wilayah yang sama, dan kanak-kanak terbunuh apabila sebuah helikopter tentera melepaskan tembakan ke arah sebuah sekolah di Sagaing, September lalu.

Tentera telah menafikan dakwaan antarabangsa ia telah melakukan kekejaman terhadap orang awam dan berkata ia sedang memerangi "pengganas" yang berazam untuk menggugat kestabilan negara.

Negara-negara Barat telah melancarkan sekatan terhadap junta dalam usaha untuk menyekat pendapatan dan akses kepada peralatan ketenteraan daripada sekutu dan pembekal utama seperti Rusia.. - REUTERS

Media Baharu