fb fb fb fb fb

Filipina, AS mulakan latihan tentera bersama

(Pengarah latihan Filipina, Mejar Jeneral Marvin Licudin (kiri) dan wakil pengarah latihan
AS Mejar Jeneral Eric Austin (kanan) semasa majlis perasmian latihan ketenteraan
bersama 'Balikatan'di ibu pejabat tentera di Quezon City, pinggir bandar Manila/ AFP)

MANILA, 11 April- Lebih 17,000 askar Filipina dan Amerika Syarikat (AS) memulakan latihan ketenteraan bersama terbesar hari ini, ketika dua sekutu lama itu berusaha menentang ketegasan China yang semakin meningkat di rantau Asia Tenggara.

Latihan tahunan yang diperluaskan itu menekankan hubungan yang lebih baik di bawah Presiden Ferdinand Marcos Jr selepas presiden sebelumnya mengurangkan latihan berkenaan bagi menjalinkan kerjasama erat dengan Beijing.

Buat pertama kalinya, Filipina dan AS akan melakukan tembakan peluru hidup di laut dalam latihan selama tiga minggu yang dikenali sebagai 'Balikatan' atau bahu ke bahu.

Pengarah Latihan Filipina, Mejar Jeneral, Marvin Licudine, berkata kemuncak latihan itu adalah gabungan tembakan menggunakan peluru hidup di pesisir pantai, yang bertujuan untuk melatih teknik dan prosedur untuk melaksanakan 'serangan maritim'.

Kementerian Luar China semalam mengkritik latihan bersama itu dengan mengatakan bahawa AS 'tidak boleh masuk campur dalam urusan pertikaian di Laut China Selatan, menjejaskan kedaulatan wilayah China, hak maritim serta kepentingan keselamatan.

Latihan tentera hari ini menyusul selepas China menamatkan latihan ketenteraannya selama tiga hari semalam termasuk simulasi serangan bersasar dan kepungan ke atas Taiwan.


(FOTO AFP)

Ia diadakan selepas Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen bertemu dengan Speaker Dewan Perwakilan AS, Kevin McCarthy di Los Angeles.

Beijing memandang Taiwan sebagai wilayahnya sendiri, manakala pulau yang ditadbir secara demokrasi itu menolak tuntutan berkenaan.

Pemangku Pengarah Latihan AS, Mejar Jeneral Eric Austin, berkata latihan Balikatan itu dapat memastikan mereka bersedia bertindak balas terhadap cabaran dunia sebenar secara bersama.

Hubungan AS-Filipina menjadi semakin erat di bawah Marcos Jr, yang pada Februari lalu memberikan kebenaran kepada Washington untuk menggunakan pangkalan tenteranya.

Latihan berkenaan turut merangkumi latihan bagi operasi amfibia, operasi penerbangan, pertahanan siber, operasi bandar, memerangi keganasan dan memberikan bantuan kemanusiaan dan bencana.

Marcos Jr dijangka menyaksikan latihan ketenteraan di laut yang turut membabitkan sebuah kapal karam lama milik tentera laut Filipina. - AFP

Media Baharu