fb fb fb fb fb

China tangguh kutipan fi pelabuhan ke atas kapal AS

Hanwha Philly Shipyard antara anak syarikat AS Hanwha Ocean yang dikenakan sekatan China / Foto AFP

BEIJING, 10 November - China akan menggantung kutipan fi pelabuhan khas ke atas kapal milik, dikendalikan, dibina atau berdaftar bawah bendera Amerika Syarikat (AS), selama setahun.

Amerika Syarikat dan China telah terlibat dalam perang perdagangan dan tarif yang tidak menentu selama berbulan-bulan.

Namun, kedua-duanya bersetuju untuk membatalkan beberapa langkah punitif selepas presiden Xi Jinping dan Presiden Donald Trump bertemu di Korea Selatan, bulan lepas.

Pernah di satu peringkat, duti yang dikenakan oleh kedua-dua pihak mencecah tiga angka, hingga menjejaskan perdagangan antara dua kuasa ekonomi terbesar dunia itu, serta dan menganggu rantaian bekalan global.

"Penggantungan fi pelabuhan itu akan berkuat kuasa pukul 13:01 (05:01 GMT) pada Isnin," menurut kenyataan Kementerian Pengangkutan.

AS menjadi mendominasi industri pembinaan kapal selepas Perang Dunia Kedua tetapi secara beransur-ansur merosot dan kini menyumbang hanya 0.1% daripada keluaran global.

Sektor itu kini dikuasai oleh Asia, dengan China membina hampir separuh daripada semua kapal yang dilancarkan, mendahului Korea Selatan dan Jepun.

Secara berasingan, Beijing memaklumkan, akan menangguhkan sekatan terhadap anak syarikat AS di Hanwha Ocean, salah satu pembuat kapal terbesar Korea Selatan.

"Tindakan penggantungan selama setahun yang dikenakan terhadap Hanwha, berkuat kuasa 10 November, dikaitkan dengan pemberhentian fi pelabuhan yang dikenakan AS ke atas kapal yang dibina dan dikendalikan China, " menurut Kementerian Perdagangan China menerusi kenyataan dalam talian.

"Berdasarkan perkara ini (penggantungan AS)... China telah memutuskan untuk menggantung langkah yang berkaitan" selama setahun, jelas kenyataan itu.

China telah mengenakan sekatan ke atas lima anak syarikat AS bawah Hanwha pada Oktober selepas menuduh mereka menyokong siasatan "Seksyen 301" kerajaan AS yang mendapati penguasaan Beijing terhadap industri pembinaan kapal tidak munasabah.

Organisasi dan individu di China telah dilarang daripada bekerjasama dengan Hanwha Shipping LLC, Hanwha Philly Shipyard Inc., Hanwha Ocean USA International LLC, Hanwha Shipping Holdings LLC dan HS USA Holdings Corp.

Siasatan yang dirancang sama ada bawah Seksyen 301 yang memberi kesan kepada "kepentingan keselamatan dan pembangunan" industri pembinaan kapal dan rantaian bekalan China juga telah ditangguhkan selama satu tahun, menurut Kementerian Pengangkutan.

Penggantungan itu adalah petanda terbaru pemulihan hubungan ekonomi sejak mesyuarat Xi-Trump.

Pada Rabu, China menyatakan ia akan melanjutkan penggantungan tarif tambahan ke atas barangan AS selama setahun, mengekalkannya pada 10%, dan menggantung beberapa tarif ke atas kacang soya dan produk pertanian AS yang lain.

China juga menggantung larangan eksport galium, germanium dan antimoni, logam penting untuk teknologi moden, pada Ahad.

Susulan perbincangan Xi-Trump juga, Beijing bersetuju untuk menghentikan selama setahun sekatan ke atas eksport teknologi nadir bumi.

Washington pula bersetuju untuk menggantung selama setahun sekatan eksport ke atas sekutu syarikat asing yang disenarai hitam di mana mereka mempunyai sekurang-kurangnya 50% kepentingan, kata kementerian perdagangan China, hari ini.

EMMI NORALIZA ADNAN