fb fb fb fb fb

Mahkamah Thailand kekal perintah ekstradisi taikun hab penipuan ke China

Shwe Kokko, hab penipuan terkenal di sempadan Thailand-Myanmar / Foto AFP

BANGKOK, 10 November - Taikun China yang dikaitkan dengan hab penipuan di sempadan Thailand-Myanmar akan diekstradisi ke China bagi menghadapi beberapa pertuduhan jenayah.

Ahli perniagaan China, She Zhijiang, 43 yang ditahan di Thailand sejak 2022, mengemukakan bantahan terhadap permintaan ekstradisi daripada Beijing berhubung projek mega dan perniagaan judinya di Shwe Kokko, Myanmar.

Dia memegang kewarganegaraan Kemboja dan telah melarikan diri dari pihak berkuasa China sejak 2012, menurut laporan media China.

Mahkamah Rayuan di Bangkok dalam keputusan terakhirnya mengenai kes itu mengekalkan perintah untuk mengekstradisi She ke China "dalam tempoh 90 hari".

Dia dan syarikatnya, Yatai telah dikenakan sekatan oleh Britain dan Amerika Syarikat.

Jabatan Perbendaharaan AS pada September memaklumkan bahawa Shwe Kokko ialah "bandar peranginan yang dibina untuk perjudian, pengedaran dadah, pelacuran dan penipuan yang menyasarkan orang di seluruh dunia".

Notis merah Interpol yang dikeluarkan Mei 2021 dan diperoleh AFP menyatakan She menghadapi pertuduhan jenayah di China berkaitan menjalankan operasi perjudian dalam talian dan penipuan.

Dalam rayuan yang ditulis dari penjara Bangkok dan dilihat AFP, dia telah menafikan semua dakwaan jenayah dan menegaskan syarikatnya hanyalah "pemaju bandar".

Pusat penipuan telah berkembang pesat di wilayah sempadan Myanmar yang mempunyai tadbir urus lemah serta menempatkan kebanyakkan pekerja China yang menyasarkan pengguna internet menerusi penipuan percintaan dan pemalsuan perniagaan bernilai berpuluh bilion Dolar setiap tahun.

Awal bulan ini, China menjatuhkan hukuman mati kepada lima orang kerana terbabit dalam kumpulan penjenayah ganas yang beroperasi di wilayah Kokang, Myanmar.

EMMI NORALIZA ADNAN