DHAKA, 10 November - Kumpulan penyerang melancarkan tujuh bom petrol pada Isnin di seluruh ibu kota Dhaka, Bangladesh termasuk menyerang sebuah bangunan yang dikaitkan dengan pemimpin sementara, Muhammad Yunus.
Serangan itu bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kecederaan.
Polis Metropolitan Dhaka mengesahkan mereka telah menahan seorang suspek lelaki berusia 28 tahun yang dikaitkan dengan siri serangan terbabit.
Polis mengenal pasti dia sebagai anggota parti Liga Awami yang diharamkan dan diterajui bekas Perdana Menteri Sheikh Hasina, yang kerajaan autokratiknya digulingkan dalam pemberontakan pada Ogos 2024.
Suspek "sedang disoal siasat berhubung beberapa insiden", menurut polis dalam satu kenyataan.
Serangan itu termasuk bom petrol yang dilemparkan semalam di Gereja St Mary dan sebuah sekolah Katolik di Dhaka, yang juga tidak mengakibatkan kecederaan.
Manakala, pada Isnin, serangan bom petrol menyasarkan beberapa pejabat Grameen Bank, institusi kewangan mikro yang dirintis Muhammad Yunus yang juga pemenang Hadiah Nobel, yang memegang tampuk pimpinan selepas Hasina digulingkan.
Sasaran lain ialah harta perniagaan yang dikaitkan dengan Farida Akhtar, anggota kabinet Yunus, serta dua bas dan sebuah hospital.
Insiden terbaharu menambah ketegangan yang memuncak di Bangladesh ketika parti bersiap sedia untuk pilihan raya pertama sejak kejatuhan Hasina, dijangka pada Februari 2026.
"Pasukan keselamatan telah "memperhebat pemburuan di seluruh bandar untuk menangkap semua individu yang terlibat dalam tindakan keganasan yang keji dan pengecut ini," kata polis.
Kempen pilihan raya yang bermula pada awal November telah dicemari oleh keganasan.
Seorang mati ditembak pada perhimpunan kempen pada hari Rabu, manakala dua orang lain termasuk seorang calon, cedera.
Bangladesh telah menyaksikan pembunuhan politik dan rusuhan dengan polis menawarkan ganjaran untuk penyerahan lebih 1,300 senjata api -- termasuk mesingan, senapang dan pistol yang dicuri semasa pergolakan tahun lalu.
Mushfiqua Islam, seorang guru universiti berusia 32 tahun di Dhaka, memberitahu AFP dia bimbang negara itu "bergerak ke hadapan tanpa hala tuju".
"Kami mempunyai beberapa pengalaman pahit sebelum ini, dan sekarang saya takut sama ada saya akan menjadi mangsa, " katanya. - AFP