fb fb fb fb fb

Thailand gantung Perjanjian Damai KL dengan Kemboja

Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul (kiri) memeterai Perjanjian Damai KL dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet di Kuala Lumpur, baru-baru ini / Foto fail

BANGKOK, 10 November - Thailand mengumumkan penggantungan pelaksanaan perjanjian damai dengan Kemboja selepas letupan periuk api mencederakan dua tentera Thailand berdekatan sempadan kedua-dua negara.

Tentera Diraja Thailand dalam kenyataan mengesahkan, letupan lombong di wilayah Sisaket menyebabkan seorang tentera cedera parah di kaki, manakala seorang lagi menggalami sakit dada.

Perjanjian itu, yang diselia oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bertujuan menjamin keamanan berkekalan susulan pertempuran di sempadan pada Julai lepas yang mengorbankan sekurang-kurangnya 43 orang dan menyebabkan lebih 300,000 orang awam di kedua-dua belah pihak kehilangan tempat tinggal.

Jurucakap kerajaan Thailand Siripong Angkasakulkiat berkata, susulan insiden itu, Bangkok akan menggantung pelaksanaan deklarasi bersama yang dimeterai di Kuala Lumpur, dua minggu lalu, selepas kedua-dua pihak bersetuju dengan gencatan senjata.

Langkah seterusnya yang dirancang sebagai sebahagian daripada pelaksanaan perjanjian itu termasuk pembebasan 18 tentera Kemboja yang ditahan di Thailand.

Sementara itu, Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dalam sidang media berkata, "kami fikir ancaman keselamatan telah reda, tetapi ia sebenarnya tidak berkurangan".

Pihak berkuasa Kemboja tidak segera mengulas mengenai kejadian itu, tetapi sebelum ini menafikan tuduhan Thailand bahawa pihaknya menanam periuk api baru di sepanjang sempadan.

Kementerian Pertahanan Kemboja berjanji dalam satu kenyataan pada Isnin akan memberikan "komitmen yang tidak berbelah bahagi" kepada keamanan.

Dua negara jiran Asia Tenggara itu mempunyai pertikaian mengenai bahagian sempadan mereka sejak lebih seabad lalu,tetapi pertempuran pada Julai dicetuskan oleh dakwaan Thailand bahawa Kemboja menanam periuk api yang mencederakan tenteranya.

EMMI NORALIZA ADNAN