fb fb fb fb fb

Mahkamah Indonesia tarik balik perintah tunda pemilihan 2024

(Seorang pekerja membawa bahan pilihan raya semasa dia menyediakan peti undi
sebelum diedarkan ke pusat mengundi di sebuah gudang di Jakarta, Indonesia,
15 April 2019/ REUTERS)

JAKARTA, 11 April- Mahkamah Indonesia hari ini membatalkan perintah kontroversi mahkamah rendah untuk menunda Pilihan Raya Presiden 2024 dan menghentikan proses itu selama dua tahun.

Arahan itu dibuat dengan alasan mahkamah rendah itu melampaui bidang kuasanya dan tidak mempunyai bidang kuasa untuk membuat keputusan berkenaan, bermakna pilihan raya boleh diadakan seperti mana dijadualkan.

Keputusan Mahkamah Tinggi Jakarta itu dibuat selepas rayuan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia bagi meredakan ketidaktentuan politik dalam demokrasi ketiga terbesar di dunia itu.

Ketua Hakim Sugeng Riyono, berkata keputusan pada 2 Mac lalu oleh Mahkamah Daerah Jakarta Pusat itu mengejutkan ramai ahli politik dan pengundi, apabila mengarahkan semua aktiviti berkaitan pilihan raya dihentikan selama dua tahun.

Keputusan mahkamah rendah itu bersandarkan kepada aduan oleh parti politik yang kurang dikenali, yang permohonannya untuk bertanding ditolak.

Pilihan raya itu akan menentukan calon Presiden Indonesia yang baharu apabila penyandangnya, Joko Widodo (Jokowi) kini berada di tahun terakhir penggal keduanya, iaitu had maksimum dibenarkan di bawah Perlembagaan.

Parti Prima, yang baru ditubuhkan, memfailkan aduan itu dengan mendakwa terdapat kelemahan dalam proses pendaftaran dan perisian di Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU).

Mahkamah daerah pula berkata pihaknya menerima kes itu kerana mahkamah lain tidak akan mengambilnya.

Seorang pesuruhjaya KPU, Afifuddin, berkata keputusan terbaru itu menjelaskan badan mana yang mempunyai kuasa untuk memutuskan pertikaian pilihan raya.

"Keputusan terbaru ini mengesahkan mahkamah rendah tidak mempunyai kuasa untuk menyelesaikan kes ini katanya kepada Reuters.

Menteri kanan Kabinet yang bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang, politik dan keselamatan, Mahfud MD, berkata rakyat Indonesia kini pasti mengalihkan perhatian mereka kembali kepada pilihan raya.

"Hal pilihan raya tidak boleh ditentukan oleh mahkamah daerah, semua orang kini mesti menumpukan perhatian kepada pilihan raya yang akan diadakan pada Februari," katanya pada sidang akhbar.

Sementara itu, Pengerusi Parti Prima, Agus Jabo Priyono berkata pihaknya masih belum memutuskan sama ada mahu membuat rayuan di Mahkamah Tinggi.

Dalam pada itu, wakil Persatuan Pilihan Raya dan Demokrasi, Titi Anggraini, berkata rayuan kepada Mahkamah Tinggi itu tidak akan menjejaskan prosiding pilihan raya atau jadual pengundian.

Keputusan yang dikeluarkan itu melenyapkan spekulasi bahawa Jokowi berusaha untuk kekal memegang jawatan walaupun selepas penggal kedua beliau berakhir.

Mengulas mengenai keputusan itu, ketua suruhanjaya pemilihan, Hasyim Asy'ari, dalam satu mesej kepada wartawan berkata: "Alhamdulillah, pemilihan akan diteruskan". - REUTERS


(Seorang penyokong memakai topeng Joko Widodo ketika dia menghadiri karnival semasa
perhimpunan kempen di Tangerang, wilayah Banten, Indonesia, 7 April 2019/ REUTERS)

Media Baharu