KATHMANDU, 10 November - Polis Nepal telah menahan 423 orang atas pelbagai kesalahan jenayah membabitkan pembunuhan hingga vandalisme semasa protes besar-besaran yang menggulingkan kerajaan pada September lepas.
Suspek juga berdepan pertuduhan termasuk memiliki dan menggunakan senjata secara haram, serta mencuri dan berkelakuan tidak senonoh.
“Satu pasukan sedang meneliti kejadian dan kami sedang berusaha untuk mengumpul maklumat,” kata jurucakap polis Nepal, Abi Narayan Kafle.
Protes besar-besaran yang digerakkan oleh generasi muda Nepal, dikenali sebagai Gen Z", merujuk kepada mereka yang berumur bawah 28 tahun, meletus pada 8 September selepas kerajaan mengeluarkan larangan ke atas media sosial.
Gerakan itu didorong oleh krisis ekonomi dan kemarahan yang semakin meningkat terhadap rasuah yang berleluasa.
Protes kemudian menular di seluruh negara hingga membawa kepada kejatuhan kerajaan apabila orang ramai membakar parlimen dan Mahkamah Agung.
Sekurang-kurangnya 76 orang terbunuh dalam dua hari keganasan, menurut data terkini polis, termasuk 63 penunjuk perasaan, 10 tahanan yang melarikan diri dan tiga pegawai polis.
Beribu-ribu aktivis menggunakan aplikasi sembang kumpulan 'Discord' untuk mencalonkan bekas ketua hakim negara berusia 73 tahun, Sushila Karki sebagai pemimpin sementara pilihan mereka.
Beliau kemudiannya dilantik sebagai Perdana Menteri sehingga pilihan raya yang dijadualkan pada Mac 2026.
Semasa protes besar-besaran itu, lebih 2,700 bangunan diserang di seluruh Nepal, termasuk bangunan kerajaan, balai polis, hotel, perniagaan, pejabat parti dan rumah ahli politik.
Pasar raya, kedai dan kediaman persendirian turut dirompak.
Beberapa penunjuk perasaan turut dilihat mengusung senapang pada hari kedua pergolakan yang didakwa dirampas daripada polis.
Kira-kira 14,500 tahanan juga melarikan diri dari penjara di seluruh negara semasa keadaan huru-hara itu. Menurut pihak berkuasa, 5,020 masih bebas.
Menteri Dalam Negeri, Om Prakash Aryal pada Sabtu berkata, satu operasi khas akan dilancarkan untuk menangkap semula tahanan yang melarikan diri dan mendapatkan semula senjata yang dirampas.
Wakil kumpulan protes Gen Z telah menuntut Aryal meletak jawatan, menuduhnya gagal bertanggungjawab terhadap mereka yang melakukan tindakan keras yang menyebabkan kematian penunjuk perasaan.
Kerajaan telah mengenakan larangan perjalanan ke atas bekas Perdana Menteri, KP Sharma Oli dan empat bekas pegawai kanan ketika suruhanjaya dibentuk bagi menyiasat pergolakan itu. - AFP