SYDNEY, 23 November- Amerika Syarikat (AS) menjangkakan ribuan tentera Korea Utara yang berkumpul di Rusia akan menyertai pertempuran menentang Ukraine, kata Setiausaha Pertahanan AS Lloyd Austin pada Sabtu.
Kira-kira 10,000 anggota tentera Korea Utara dipercayai ditempatkan di kawasan sempadan Rusia di Kursk dan akan bergabung dengan pasukan tentera Rusia.
"Berdasarkan apa yang telah mereka latih dan cara mereka digabungkan dalam formasi tentera Rusia, saya sepenuhnya menjangkakan mereka bakal terlibat dalam perperangan tidak lama lagi," kata Austin kepada pemberita semasa singgah di negara Pasifik, Fiji.
Austin berkata setakat ini, beliau tidak menerima sebarang laporan mengenai tentera Korea Utara yang terlibat secara aktif dalam perperangan Rusia-Ukraine.
Pegawai kerajaan Korea Selatan dan sebuah kumpulan penyelidik pada Khamis mengatakan bahawa Rusia telah menyediakan minyak, peluru berpandu anti-pesawat dan bantuan ekonomi kepada Pyongyang sebagai pertukaran kepada penghantaran tenteranya seperti yang didakwa oleh Washington dan Seoul.
Kyiv memberi amaran bahawa Moscow, bersama-sama tentera Korea Utara, kini telah mengumpulkan kekuatan seramai 50,000 anggota untuk menawan kembali sebahagian wilayah sempadan yang dirampas oleh tentera Ukraine.
Ukraine telah menguasai kawasan luas di Kursk pada bulan Ogos walaupun terpaksa berhadapan dengan tekanan di wilayah Donetsk, yang telah menjadi medan pertempuran selama hampir tiga tahun.-AFP