fb fb fb fb fb

Bekalan bahan api hospital Gaza hanya bertahan dua hari

Foto AFP

GAZA, 23 November- Kementerian Kesihatan Gaza memberi amaran bahawa hospital di Gaza hanya mempunyai bekalan bahan api dalam tempoh dua hari selepas Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa penghantaran bantuan ke wilayah yang musnah akibat perang itu semakin lumpuh.

Amaran itu dibuat sehari selepas Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas menteri pertahanan, Yoav Gallant.

Pengarah hospital lapangan Gaza, Marwan al-Hams, memberitahu pemberita bahawa semua hospital di wilayah Palestin akan menghentikan operasi atau mengurangkan perkhidmatan dalam tempoh 48 jam disebabkan halangan Israel terhadap kemasukan bahan api.

"Petugas perubatan Gaza melaporkan serbuan Israel pada waktu malam ke atas bandar Beit Lahia dan Jabalia telah menyebabkan puluhan terkorban atau hilang," katanya.

Pengarah Hospital Kamal Adwan, Hossam Abu Safia, memberitahu AFP bahawa seorang doktor dan beberapa pesakit mengalami kecederaan dalam serangan Israel, semalam.

Lewat Khamis, penyelaras kemanusiaan PBB untuk wilayah Palestin, Muhannad Hadi berkata penghantara bantuan ke Gaza semakin terhenti.

"Penghantaran bantuan kritikal ke seluruh Gaza, termasuk makanan, air, bahan api dan bekalan perubatan, hampir terhenti. Israel terus menghalang penghantaran bantuan itu," katanya.

Terdahulu, Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus terus menyatakan kebimbangan terhadap keselamatan 80 pesakit, termasuk lapan di unit rawatan rapi di Hospital Kamal Adwan, salah satu daripada dua hospital yang masih beroperasi di utara Gaza.- AFP

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM