GENEVA, 23 November- Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) melahirkan kebimbangan mengenai keadaan di Syria yang semakin buruk sehingga memaksa penduduk Lubnan yang melarikan diri daripada perang Israel-Hizbullah, memilih untuk kembali ke negara asal mereka.
"Terdapat warga Lubnan yang mula membuat keputusan paling sukar dan berisiko mengancam nyawa untuk kembali ke Lubnan," kata wakil Pesuruhjaya PBB bagi pelarian (UNHCR) di Syria, Gonzalo Vargas Llosa.
Menurutnya, walaupun jumlah mereka yang ingin kembali ke negara itu adalah kecil, namun ianya memberikan isyarat yang membimbangkan.
"Mereka berpendapat keadaan di Syria sangat buruk susulan krisis ekonomi yang semakin serius. Mereka mungkin mendapat sistem sokongan yang lebih baik, akses yang lebih mudah kepada perkhidmatan dan kemampuan untuk menjana pendapatan di Lubnan, walaupun dengan serangan bom," kata Vargas Llosa.
Beliau berkata secara purata kira-kira 50 rakyat Lubnan kembali semula ke negara itu setiap hari.
UNHCR menganggarkan kira-kira 560,000 orang telah melarikan diri ke Syria dari Lubnan sejak akhir September, apabila serangan rentas sempadan Israel-Hizbullah terus meningkat.
Pihak berkuasa Lubnan meletakkan jumlah itu lebih tinggi, iaitu lebih 610,000 orang.
Vargas Llosa berkata, kira-kira 65 peratus daripada mereka terdiri daripada warga Syria yang mencari perlindungan di Lubnan akibat perang saudara yang berlarutan selama 13 tahun di negara itu.
Dari tahun 2017 hingga 23 September lalu, kira-kira 400,000 rakyat Syria telah kembali ke negara mereka.
"Kami telah melihat jumlah yang lebih kurang sama... dalam tempoh tujuh hingga lapan minggu. Kira-kira 150,000 rakyat Lubnan juga tiba di Syria dalam tempoh itu," katanya kepada wartawan di Geneva melalui pautan video dari sempadan Syria-Lubnan. -AFP